‘Protes Bruno Mars: Perlukah GAMIS dilayan seperti penjenayah?’

Mythreyar ketika hadir memberikan sokongan terhadap GAMIS dalam Himpunan Bantahan Konsert Bruno Mars di hadapan pintu masuk Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada hari ini, 26 September 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Perlukah pertubuhan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dilayan seperti penjenayah kerana memprotes kehadiran Bruno Mars untuk konsert di Malaysia?”

Aktivis Palestin, Mythreyar Mutturamalinggam berkata, sudah jelas Bruno Mars merupakan antara individu yang  pro-Zionis.

“Kita sendiri pun tidak pernah mengalukan kehadiran Bruno Mars di negara ini.

- Advertisement -

“Saya sendiri pun tidak suka mana-mana individu yang bersifat pro-Zionis untuk masuk ke dalam negara Malaysia ini,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Bantahan Konsert Bruno Mars di hadapan pintu masuk Stadium Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden GAMIS, Imran Sulaiman dan sebahagian mahasiswa serta mahasiswi dari universiti tempatan.

Menurut  Mythreyar, setiap saat rakyat Palestin telah dibunuh oleh rejim Zionis Israel yang mana kezaliman tersebut adalah jelas lebih buruk daripada binatang.

Tambahnya, adalah sangat mengecewakan sekiranya mana-mana rakyat yang masih hadir dalam konsert tersebut.

“Apa yang berlaku ialah sangat mengecewakan yang mana konsert Bruno Mars masih dibenarkan dalam negara ini.

“Ketika mana-mana individu yang sibuk bersuka ria mendengar nyanyian Bruno Mars, negara haram Israel pula secara sukarela membunuh rakyat Palestin secara beramai-ramai.

“Jadi beritahu saya, adakah membenarkan konsert ini membuktikan bahawa kerajaan bersama-sama dengan rakyat Palestin sepenuhnya?” ujarnya.

Sehubungan itu, Mythreyar juga mengutuk tindakan pihak berkuasa yang bertindak merempuh khemah-khemah GAMIS yang didirikan bagi mogok aman  yang diadakan di hadapan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 September lalu.

Kata beliau lagi, GAMIS telah dilayan seperti penjenayah, sedangkan mereka tidak melakukan sebarang kesilapan dalam menentang kehadiran Bruno Mars.

“GAMIS tidak melakukan jenayah dalam melakukan perkara sedemikian tetapi dilayan seperti penjenayah.

“Maka, saya akan terus bersama-sama dengan GAMIS dalam menentang mana-mana individu yang jelas bersifat pro-Zionis termasuklah Bruno Mars.

“Saya tidak mahu mana-mana individu yang pro-Zionis untuk masuk dalam negara yang saya cintai ini,” tegasnya.

Terdahulu, Harakahdaily melaporkan kenyataan Imran pada 13 September yang menyatakan bahawa pihak berkuasa telah bertindak mogok aman GAMIS yang ketika itu sedang melakukan protes terhadapterhadap konsert Bruno Mars.

Imran melalui kenyataannya pada ketika itu berkata,  dalam insiden tersebut pihak polis telah mengambil tindakan untuk mengangkut pimpinan GAMIS yang berkeras tidak mahu berganjak walaupun diugut akan diambil tindakan lanjut. – HARAKAHDAILY 16/9/2024

- Advertisement -