
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan turut memberikan sokongan serta menjayakan program 100 Tahun Malaysia Agriculture Horticulture Agrotourism (MAHA) MAHA 2024 sekalipun pemimpin utama sedang bermuktamar, semalam.
Bagi menjayakan hasrat itu, kerajaan negeri telah menghantar wakilnya, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan Dan Komoditi negeri, Datuk Shaari Mat Hussain, bagi menghadiri majlis perasmian oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di MAEPS Serdang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanin, Industri Agro Makanan dan Komoniti negeri, Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail berkata, Kelantan Seiring Gagasan Go Global MAHA 2024, mengambil langkah proaktif untuk turut serta menjayakan program berkenaan.
Katanya, dengan tema Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom, MAHA 2024 yang bermula pada 11 hingga 22 September ini, menampilkan 48 segmen melibatkan aktiviti pameran dan jualan,
Katanya, antaranya Kingdom of Fruit, Laman Sayur dan Herba, Laman Perikanan dan Laman Mekanisasi.
“Pertanian merupakan antara penyumbang ekonomi utama di Kelantan. Justeru itu pelbagai inovasi serta teknologi telah digunakan bagi memastikan tuaian hasil yang terbaik,” katanya pada catatan Facebook, semalam.
Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam memastikan usaha menjadikan negeri itu sebagai jelapang makanan dapat dijayakan.
“Saya mewakili kerajaan negeri menjemput semua rakyat Kelantan untuk datang ke sini bagi mengambil peluang menimba ilmu sambil berhibur khususnya di Pavilion Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/9/2024











