PAS, PN bawa hasrat rakyat jadi kerajaan pada PRU16

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS dan Perikatan Nasional (PN) membawa hasrat rakyat untuk menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, tidak hanya negeri Pahang Darul Makmur yang akan ditawan, sebaliknya Putrajaya juga.

Beliau berkata, hasrat berkenaan disampaikan perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 yang diadakan di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, yang berakhir semalam.

- Advertisement -

“Dari sini kita lihat betapa bersungguhnya aktivis parti kita, anak-anak muda sama ada daripada pemuda, Ameerah dan muslimat itu sendiri berhasrat untuk bekerja lebih kuat bagi menjayakan hasrat itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana Muktamar PAS telah melabuhkan tirainya dengan mandat yang cukup baik dan berkesan disampaikan pucuk pimpinan.

“Saya yakin ianya akan menjadi semangat petugas semua peringkat untuk pulang melaksanakan kerja-kerja yang diamanahkan kepada mereka,” ujarnya.

Dengan tema muktamar tahun ini, ‘Islam Adalah Penyelesaian’, Zailah yakin ia bakal menjadi ‘penawar’ yang berkesan dalam semua perkara untuk kemakmuran negara dan rakyat pelbagai kaum pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 16/9/2024

- Advertisement -