Pindaan perlembagaan diluluskan PAS disambut baik 

- Advertisement -

TEMERLOH: “Alhamdulillah, Muktamar PAS meluluskan pindaan perlembagaan dengan sebulat suara menyokong.”

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, antara pindaan perlembagaan yang dipinda ialah memasukkan peruntukan lompat parti untuk Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negeri dan Dewan Undangan Negeri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

“Selain itu, turut dipinda perlembagaan dengan memasukkan secara rasmi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan Dewan As-Sabiqun sebagai salah satu entiti di dalam organisasi PAS,” katanya.

Terdahulu, usul pindaan perlembagaan bagi menghalang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu daripada lompat parti telah  dibentangkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur di sini, semalam.

“Peruntukan itu berbunyi, setelah seseorang ahli dipilih sebagai ADUN atau Ahli Parlimen, keahlian mereka akan terhenti serta-merta apabila melakukan mana-mana perkara seperti menyertai atau menyatakan sokongan terhadap parti atau pakatan politik yang tidak disokong PAS,” katanya.

Syor pindaan anti lompat parti itu adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan juga perlembagaan negeri.

Menurut Takiyuddin, keahlian juga terhenti sekiranya ahli Parlimen dan ADUN PAS tersebut memilih untuk menjadi ahli bebas.

“Maka dalam mana-mana keadaan ini, wakil rakyat PAS tersebut dikira terhenti menjadi ahli PAS. 

“Bila terhenti jadi ahli, maka kerusinya mesti dikosongkan,” jelasnya.

Tambah beliau, sekiranya ahli Parlimen dan ADUN PAS  dipecat parti, kerusi mereka tidak akan tergugur.

“Ia hanya melibatkan seseorang ahli Parlimen atau ADUN yang diberhentikan, terhenti atau terpecat kerana perbuatan-perbuatan yang dianggap telah melakukan kesalahan anti lompat parti.

“Kita perlu masukkan peruntukan ini kerana parti-parti lain dah masukkan dalam parti mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2024

- Advertisement -