
KUALA LUMPUR: Pujian dan syukur kepada Allah SWT dan merafak sembah junjungan terima kasih kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, atas pengurniaan Darjah Kebesaran kepada 2 orang Yang Berhormat daripada Parti Islam se-Malaysia (PAS).
Pemuda PAS Pahang dalam satu kenyataan, telah merakamkan jutaan tahniah diucapkan kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang Ustaz Dato’ Rosli Abdul Jabbar dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kawasan Beserah, Dato’ Andansura Rabu atas pengurniaan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’.
“Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’ kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Dato’ Rosli Abdul Jabbardan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kawasan Beserah, Dato’ Andansura Rabu, dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 Sultan Pahang (sesi kedua) di Istana Abdulaziz, di sini, hari ini.
“Semoga pengurniaan ini menjadi pembakar semangat untuk Dato’ berdua terus berkhidmat dengan sangat cemerlang kepada rakyat Negeri Pahang khasnya serta Malaysia amnya.

“Semoga terus istiqamah berkhidmat kerana Allah SWT dan Siiru ala barakatillah selalu semuanya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Pemuda PAS Pahang.
Pada majlis tersebut, Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan kurniaan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia – Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan; Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh a/l Hardev Singh; Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Datuk Indera Ir. Baharin Din dan Pengarah Urusan Southern Acids (M) Berhad, Dr. Low Kok Thye.
Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Pertama Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera kepada Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Tentera Udara Malaysia (TUDM), Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom; Panglima Operasi Udara Leftenan Jeneral TUDM, Datuk Mohd Shahda Ismail; Presiden Tunku Abdul Rahman University Of Management and Technology (TAR UMT), Profesor Ir. Dr Lee Sze Wei dan Pengarah Urusan Menara Network Sdn. Bhd., Datuk Ab Razif Asmuni. – HARAKAHDAILY 12/9/2024




















