
KUALA LUMPUR: PAS menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan The Islamic Action Front (IAF) meraih kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Parlimen Jordan.
Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, mudah-mudahan kemenangan itu akan memperkukuhkan kedudukan dunia Islam.
“(Mudah-mudahan kemenangan itu juga) dapat membawa perubahan serta Islah kepada negara demi menjaga kemaslahatan umat,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
The Islamic Action Front (IAF) adalah sayap politik Ikhwanul Muslimin di Jordan yang telah mencapai kemajuan ketara dalam Pilihan Raya Parlimen negara itu yang diadakan pada September tahun ini.
Parti tersebut dilaporkan memperoleh 31 daripada 138 kerusi di Parlimen Jordan, dengan 17 kerusi daripada kawasan umum dan 14 daripada kawasan tempatan.
Menurut media antarabangsa, Anadolu Agency, IAF menunjukkan peningkatan ketara berbanding pilihan raya sebelumnya, hasil daripada undang-undang pilihan raya baharu yang bertujuan meningkatkan perwakilan parti.
Kejayaan IAF dikaitkan dengan hubungan akar umbi yang kukuh serta pendirian mereka terhadap isu-isu utama, termasuk sokongan terhadap perjuangan Palestin, yang mendapat sambutan daripada pengundi.
Masalah ekonomi seperti kadar pengangguran dan kemiskinan yang tinggi turut memainkan peranan dalam meningkatkan populariti parti itu.
IAF dilaporkan berjanji akan menumpukan kepada reformasi ekonomi, termasuk pelan ‘Jordan 2030’ yang bertujuan menangani masalah ekonomi negara.
Walaupun mencapai kemajuan, penyertaan pengundi agak rendah, dengan hanya kira-kira 32 peratus daripada pengundi layak yang keluar mengundi.
Prestasi IAF mencerminkan suasana politik semasa di Jordan, terutama dengan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai isu-isu serantau dan dalaman. – HARAKAHDAILY 12/9/2024




















