PRU16: As-Sabiqun bentuk pasukan kempen warga emas

Mohamad Nor Mohamad
- Advertisement -

KUANTAN: Sidang As-Sabiqun PAS Pusat telah membentuk pasukan kempen khas untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut setiausahanya, Mohamad Nor Mohamad, peranan warga emas dalam perjuangan politik semakin penting memandangkan jumlah golongan itu kian bertambah dalam negara.

Katanya, pengundi dalam saluran 1 dan 2, yang terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas, kini mencapai 15 peratus daripada jumlah pengundi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

- Advertisement -

“Perkara ini dilihat sebagai satu faktor penting, khususnya di Pahang, di mana PAS Pusat telah menetapkan bahawa pentadbiran negeri itu akan dipimpin oleh PAS dalam PRU16.

“Kita akan menjadi sebahagian petugas-petugas parti untuk memastikan hasrat PAS Pusat dan Pahang terlaksana untuk mentadbir negeri.

“Saya merakamkam setinggi penghargaan kepada Pengerusi As-Sabiqun Pahang dan AJK yang memberi kerjasama luar biasa dan gerak kerja yang teratur,” katanya dalam ucapan aluan di Konvensyen As-Sabiqun PAS Pusat 4.0 di Dewan D’Persada Baroqah, di sini, hari ini. 

Konvensyen As-Sabiqun 4.0 dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin.

Turut hadir dalam konvensyen tersebut adalah Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed, Pengerusi As-Sabiqun Negeri Pahang, Ismail Mohamed, AJK PAS Pusat, Ahli Parlimen Parit Buntar, Ustaz Misbahul Munir Masduki dan Ketua As-Sabiqat Pusat, Hajah Fatimah Ismail.

Mohamad Nor turut mengingatkan ahli As-Sabiqun dan As-Sabiqat mengenai pesanan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa tiada waktu rehat dalam perjuangan PAS, kecuali apabila dipanggil oleh Allah SWT.

“Kita hendaklah berazam terus berada dalam perjuangan PAS, kerana kita telah menyaksikan dalam PAS, mereka yang dahulu bersama kita tapi sekarang tidak bersama kita.

“Lebih sedih mereka menentang kita dan memburukkan pimpinan kita, kami ada hati nurani yang tidak boleh terima cacian mereka,” katanya.

Beliau turut mengagumi semangat kental ahli As-Sabiqun dan As-Sabiqat yang hadir ke Konvensyen As-Sabiqun 4.0 walaupun ada di antara mereka menggunakan kerusi roda dan bertongkat, mencerminkan keazaman mereka untuk terus bersama PAS. – HARAKAHDAILY 11/9/2024

- Advertisement -