Situasi ekonomi sekarang ancam impian hidup al-falah

- Advertisement -

KUANTAN: Satu persoalan hidup semasa adalah keadaan ekonomi yang tidak stabil ekoran berlaku inflasi, kenaikan kos hidup, peningkatan kos barangan termasuk harga barangan dapur di peringkat domestik.

Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed berkata, berlaku lagi kenaikan harga minyak diesel yang kesannya dikatakan menyebabkan tekanan ekonomi yang berlarutan.

“Sekarang apa tanggungjawab Sidang As-Sabiqun dalam meredakan tekanan ekonomi demi kelangsungan ekonomi kita, khususnya warga emas,” ujarnya.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Sidang As-Sabiqun PAS Pusat 2024 dengan tema ‘Melestari As-Sabiqun Memantap Jemaah’ di Dewan D’Persada Baroqah di sini, hari ini.

Menurutnya, Islam memberi panduan menurut maqasid al-syariah nilai kelangsungan itu bermula dengan jaga agama (hifz al-din), jaga nyawa (hifz alnafs), jaga keturunan (hifz al-nasl), jaga akal (hifz al-aql) dan jaga harta (hifz al-mal).

“Di sebalik panduan menjaga lima keutamaan ini, cita-cita bersama kita parti Islam adalah nikmat kesejahteraan (al-falah).

“Kita selaku pimpinan Sidang As-Sabiqun seharusnya mempunyai tasawur yang terang bahawa impian hidup al-falah sedang terancam dengan situasi ekonomi sekarang.

“Maka as-sabiqun/as-sabiqat seharusnya sentiasa mengutamakan semangat persaudaraan dalam menghadapi sebarang kesulitan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/9/2024

- Advertisement -