Isu pensijilan halal: Perlu tindakan tegas kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap isu pensijilan halal yang sedang diperdebatkan sekarang ini.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof Mohd Roslan Mohd Nor berkata, PUM berpendirian bahawa pensijilan Halal adalah satu keperluan untuk maslahah (kebaikan) rakyat Malaysia, dalam kalangan muslim dan juga orang bukan Islam. 

- Advertisement -

“Kerajaan Malaysia perlu bertegas dalam mempertahankan pensijilan Halal mengikut undang-undang, akta serta enakmen yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pensijilan Halal Malaysia ini telah pun diiktiraf di peringkat antarabangsa dan ia  mempunyai standard piawaian yang diiktiraf seluruh dunia. 

“Bahkan Malaysia dilihat sebagai pelopor kepada perkembangan industri halal di peringkat global,” jelasnya

Mohd. Roslan Mohd. Nor 

Tambahan pula, ujar beliau, Malaysia adalah negara yang dijadikan rujukan utama dalam menentukan kualiti makanan dan keselamatan makanan (food safety) di peringkat global dan ianya bukan suatu rahsia lagi.

“Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa beberapa perkataan tertentu seperti no pork, no wine, no alcohol dan sebagainya tidak bermaksud makanan yang disediakan tersebut adalah memenuhi status halal,” katanya.

Tambah beliau, istilah halal  bukan sahaja kepada ramuan, malah ia merangkumi semua aspek-aspek yang berkaitan seperti proses, penyediaan, peralatan, bahan dan lain-lain yang memenuhi kehendak Halalan Toyyiban. 

“Maka, tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk mempertikaikan dan mengecilkan atau merendah-rendahkan peranan yang telah sekian lama dimainkan oleh Malaysia dalam bidang halal,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/9/2024

- Advertisement -