Pemimpin pembangkang Venezuela lari ke Sepanyol

Edmundo Gonzalez ketika tiba di Madrid, Sepanyol selepas melarikan diri dari Venezuela. (FOTO: BBC)
- Advertisement -

MADRID: Pemimpin pembangkang Venezuela, Edmundo Gonzalez telah mendarat di Sepanyol selepas melarikan diri dari negara asalnya dengan waran tangkap yang menuduhnya melakukan keganasan, konspirasi dan jenayah lain berkaitan dengan pilihan raya presiden yang dipertikaikannya pada Julai lalu.

Pesawat tentera udara Sepanyol yang membawa Gonzalez, isterinya dan pegawai negara itu mendarat Pangkalan Tentera Udara Torrejon de Ardoz, di sini pada Ahad petang di mana beliau akan diberikan suaka politik oleh Sepanyol, lapor BBC.

Gonzalez berkata, tindakan melarikan diri dari negaranya itu berlaku walaupun terdapat paksaan dan ancaman yang tidak membenarkannya berbuat demikian, tetapi beliau tidak menyatakan secara jelas siapa yang telah membuat ugutan itu.

- Advertisement -

Beliau sebelum ini telah bersembunyi di Venezuela, di mana waran penangkapannya dikeluarkan selepas beliau mempertikaikan keputusan pilihan raya presiden Julai lalu, yang menyaksikan penyandang, Nicolas Maduro memperoleh penggal ketiga.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin pembangkang, Maria Corina Machado berkata, Gonzalez telah melarikan diri untuk memelihara kebebasannya, integritinya dan nyawanya.

Beliau mendakwa pentadbiran Nicolas Maduro telah melancarkan ‘gelombang’ penindasan yang kejam selepas pilihan raya presiden lalu, keputusan yang banyak negara di rantau itu telah mempertikaikannya.

Terdahulu, Venezuela berada dalam keadaan krisis sejak pilihan raya itu, di mana Maduro diisytiharkan sebagai pemenang dengan 51 peratus undi oleh pihak berkuasa pilihan raya negara itu, sebuah badan yang penuh dengan sekutunya.

Namun, puluhan ribu undian yang diterbitkan oleh pembangkang menunjukkan kemenangan meyakinkan untuk Gonzalez, menyebabkan pembangkang Venezuela dan beberapa pemimpin Amerika Latin enggan mengiktiraf kemenangan Maduro, yang kemudiannya mencetuskan protes yang mendatangkan kematian dan beribu-ribu individu ditangkap. – Agensi/ HARAKAHDAILY 9/9/2024

- Advertisement -