
SKUDAI: Polis telah berjaya mengesan rakaman video yang telah tular di platform media sosial, X yang memaparkan kejadian melibatkan sebuah kereta dipandu melawan arus di Jalan Persiaran Impian Emas, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Polis (ACP) MSB Singh, berkata video rakaman tular itu di dimuat naik oleh pemilik hantaran X, @anthraxxx781 di pautan https://x.com/anthraxxx781/status/1831165547721134288 berlaku pada 3 September jam 1.58 tengah hari.
“Siasatan pihak polis mendapati kejadian berlaku melibatkan sebuah kereta jenis Proton X70 warna merah telah memasuki lorong bertentangan di jalan tersebut.
“Pihak polis telah berjaya mengesan pemandu kereta berkenaan yang merupakan seorang lelaki melayu tempatan berumur 47 untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Tambah Singh, kes ini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000 untuk kesalahan kali pertama,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/9/2024




















