Sidang Kemuncak SG4 pemangkin ekonomi empat negeri

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sidang Kemuncak SG4 yang berlangsung di Bangi semalam menjadi medan penting bagi Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis untuk bekerjasama dalam memajukan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, inisiatif itu akan membawa manfaat besar kepada keempat-empat negeri serta menyumbang kepada pembangunan negara.

“Ada dua sesi dalam program sehari yang diadakan pada hari ini (semalam) sesi pertama adalah merupakan sesi perasmian yang telah disempurnakan oleh dua orang tokoh utama yang menjadi penasihat utama kepada SG4 ini iaitu pertama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

“Selepas itu kita juga mendengar penerangan dan juga pembentangan daripada empat menteri besar yang mewakili negeri daripada Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis dan kita mendengar wawasan dan juga misi masing-masing tentang apa yang mereka lakukan dan apa peluang yang ada di negeri masing-masing.

“Alhamdulillah kami mendapat banyak pendedahan daripada pembentangan keempat-empat orang menteri besar tersebut,” katanya dalam satu hantaran video di laman Facebook miliknya, semalam.

Kata beliau, seorang tokoh ekonomi terkenal negara, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai turut memberikan penjelasan mendalam mengenai situasi ekonomi di negeri SG4.

“Alhamdulillah kami mendapat banyak info daripada beliau dan insya-Allah bakal kita jadikan sebagai panduan dalam perlaksanaan program-program ekonomi di negeri-negeri SG4,” katanya.

Beliau berkata, pada sebelah petang program SG4 diteruskan dengan sesi bengkel yang dibahagikan kepada lima kluster.

“Alhamdulillah bagi saya program yang berlaku ini merupakan program yang sangat baik, yang merupakan satu medium untuk kami terutamanya daripada empat buah negeri ini bagi merangka strategi yang terbaik untuk manfaat rakyat di negeri masing-masing dan juga untuk manfaat sektor ekonomi,” katanya.

Sukairi berkata, hasil dari bengkel itu bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat di semua negeri terlibat bahkan juga kepada negara Malaysia.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penganjur yang telah menganjurkan program SG4 ini.

“Insya-Allah ianya bakal menjadi satu pemangkin yang akan merancakkan lagi aktiviti di keempat-empat buah negeri dan sekali gus akan menyumbang sesuatu yang positif kepada negara insya-Allah,” katanya. HARAKAHDAILY 3/9/2024

- Advertisement -