SG4 bakal pacu transformasi ekonomi empat negeri

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berharap Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4) kali ini bakal memacu Terengganu, Kedah, Kelantan, dan Perlis ke hadapan.

Beliau berkata, ia dapat dicapai melalui hasil daripada kerjasama yang terjalin erat.

“Ini merupakan tekad besar daripada anggota SG4 bagi menggembleng tenaga, mencipta suasana baharu bagi keselesaan rakyat dan memacu sektor sosioekonomi masyarakat ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.

- Advertisement -

Sidang Kemuncak SG4 menumpukan kepada lima kluster utama yang melibatkan infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan, dan perniagaan; pertanian dan sekuriti makanan; perundangan dan modal insan; serta sumber dan pendapatan baharu.

Menurut Amzad, penetapan kluster ini adalah langkah penting untuk memastikan setiap negeri dalam SG4 mempunyai hala tuju yang selaras dan sasaran yang jelas untuk jangka pendek dan panjang.

Beliau berkata, penubuhan sebuah entiti korporat SG4 di bawah Majlis Menteri Besar yang akan bertanggungjawab untuk menyelaraskan dan menarik pelaburan baharu merentasi negeri-negeri SG4.

“Agenda yang melibatkan syarikat yang baru ini akan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara,” katanya.

Amzad turut tertarik dengan Strategi Pengukuhan Ekonomi Empat Negeri, yang telah dibentangkan oleh Profesor Dr. Barjoyai Bardai.

Barjoyai turut membentangkan konsep ekonomi berasaskan Koperasi Wakaf, yang mungkin boleh mengurangkan kebergantungan kepada industri perbankan.

“Moga-moga idea yang dikemukakan boleh dilaksanakan oleh negeri-negeri SG4,” kata Amzad. – HARAKAHDAILY 3/9/2024

- Advertisement -