
KEPALA BATAS: Semarak Kemerdekaan anjuran PAS Kawasan Kepala Batas berlangsung meriah dan warna-warni melibatkan lebih 200 warga dalam majlis di Markas Tarbiyyah Pongsu Seribu, di sini kelmarin dahulu.
Penyertaan warga SRITI dan PASTI serta Ahli-ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak, Muslimat dan Pemuda yang hadir turut memeriahkan lagi suasana program.
Pelbagai acara disediakan sempena program itu seperti pertandingan mencipta logo, video pendek dan replika kemerdekaan yang mendapat memberangsangkan dari golongan muda.
Sementara itu turut diadakan perarakan bermotor oleh Alternative Riding Club (ARC) dan cabutan nombor bertuah.
Selain untuk menyemarakkan ulang tahun Hari Kebangsaan Kali Ke-67 tahun ini, penganjur juga menyediakan medan ‘top show’ dengan menampilkan ahli panel jemputan khas.
Panel terdiri kalangan pemimpin Dewan Muslimat, Ulama dan Sidang as-Sabiqun telah mengisahkan pengorbanan menuntut kemerdekaan oleh pejuang terdahulu.
Melalui misi ‘Kepala Batas Sejahtera’ program itu dirasmikan Yang Dipertua PAS Kepala Batas, Bukhori Ghazali yang juga ADUN Pinang Tunggal ini turut diharapkan dapat mendekatkan masyarakat luar bersama PAS.
Program ini juga telah dijayakan dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Penaga, Pinang Tunggal dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas.
Turut hadir, ADUN Penaga, Mohd Yusni Mat Piah dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad.
Majlis terlebih dahulu, dimulakan dengan solat hajat dan bacaan Yaasin. – HARAKAHDAILY 3/9/2024












