Isu komponen enjin: Cathay Pacific periksa semua pesawat A350

Cathay Pacific telah membatalkan sebanyak 24 penerbangan pergi dan balik yang beroperasi sehingga penghujung Selasa, 3 September 2024. (FOTO: CNA)
- Advertisement -

HONG KONG: Syarikat penerbangan Cathay Pacific telah memulakan pemeriksaan terhadap kesemua pesawat Airbus A350 miliknya selepas kegagalan komponen enjin ketika penerbangan dalam salah satu pesawatnya pada Ahad.

Syarikat itu turut membatalkan sebanyak 24 penerbangan pergi dan balik yang beroperasi sehingga penghujung Selasa (3 September), dan beberapa pesawat akan dihentikan perkhidmatan selama beberapa hari sementara proses yang disifatkannya sebagai langkah berjaga-jaga itu selesai, lapor CNA.

“Kami segera membawa isu ini kepada perhatian pengeluar pesawat dan enjin serta pengawal selia kami,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

- Advertisement -


Menurut kenyataan itu lagi, semasa pemeriksaan dijalankan, pihaknya telah mengenal pasti beberapa komponen enjin yang perlu diganti, sambil memberi jaminan kepada pelanggannya bahawa alat ganti itu telah selamat dan kerja pembaikan sedang dijalankan.

Sementara itu, Pengarah Kejuruteraan syarikat itu, Keith Brown berkata, “Setiap pesawat sedang menjalani pemeriksaan rapi.  Selepas siap, pesawat yang dibenarkan beroperasi akan kembali beroperasi.

“Mereka yang dikenal pasti mempunyai masalah teknikal akan menjalani kerja pembaikan dan penyelenggaraan selanjutnya.

“Sementara itu, kami sedang berhubung dengan Jabatan Penerbangan Awam Hong Kong serta pihak pengeluar pesawat dan enjin,” katanya.

Terdahulu, penerbangan CX383 yang berlepas dari Hong Kong dan menuju ke Zurich, Switzerland selepas dilaporkan mengalami kegagalan komponen enjin beberapa minit selepas berlepas.

Daripada membelok ke utara untuk perjalanan kira-kira 12 jam ke Zurich, pesawat itu sebaliknya melakukan dua pusingan lebar sebelum kembali ke Hong Kong di mana ia mendarat dengan selamat kira-kira 75 minit selepas berlepas. -Agensi/– HARAKAHDAILY 3/9/2024

- Advertisement -