Negeri SG4 punyai banyak potensi dan sumber

- Advertisement -

BANGI: Banyak potensi yang ada pada Empat Kerajaan Negeri (SG4) di mana sememangnya perlu diwujudkan kebersamaan dalam pembangunan empat negeri ini.

- Advertisement -

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negeri-negeri anggota SG4 merupakan pengeluar sumber makanan terbesar dalam negara ini.

“Tambahan pula negeri-negeri ini yang memiliki hampir 70 peratus mineral nadir bumi negara yang diperlukan, mempunyai alam sekitar, hutan, tasik, pantai dan gugusan pulau peranginan yang paling menarik.

“Serta mempunyai radiasi matahari terbaik di Malaysia untuk industri tenaga hijau. Ini termasuklah ada yang akan menjadi Pusat Penggunaan dan Penyimpanan Tangkapan Karbon (CCUS),” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berucap ketika Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri 4 (SG4) yang dilangsungkan di Hotel Tenera, di sini hari ini.

Menurut Samsuri, negeri SG4 merupakan pintu utama negara Malaysia iaitu di sebelah utara yang menghubungkan negara Thailand, terutama wilayah selatannya dan juga Tanah Besar Asia yakni Indo-China.

Tambah beliau, sehubungan itu amat pentingnya SG4 mempunyai hala tuju atau ‘roadmap’ dalam merealisasikan agenda bersama menerusi gagasan sebegini.

“Justeru, dalam merealisasikan agenda bersama menerusi SG4 ini dengan lebih cekap dan berkesan, ‘roadmap’ kita ialah fasa pertama iaitu menggiatkan perkongsian pintar dan kerjasama.

“(Iaitu) antara SG4 dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta, pakar bidang dan ahli akademik, serta semua ‘stakeholders’ (pemegang taruh).

“Fasa ini adalah sangat kritikal dalam mengenal pasti potensi, mengumpul sumber, mengurus risiko dan menggalakkan inovasi. Fasa kedua ialah membangunkan kerangka tindakan (blueprint) yang komprehensif dan seimbang.

“(Iaitu)dengan mengambil kira keperluan, kemampuan serta kekuatan aset-aset setiap negeri. Frasa ketiga pula ialah melaksanakan projek dan program berimpak tinggi kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan pembangunan fizikal di negeri-negeri SG4.

“Paling penting pada fasa ini ialah penglibatan menyeluruh dan komunikasi berkesan antara pemegang taruh dan pasukan pelaksana, di samping sistem pemantauan dan penilaian yang efisien bagi menjamin hasilnya bermanfaat buat rakyat tempatan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ahmad Samsuri menyatakan bahwa pada Sidang Kemuncak itu juga akan diadakan bengkel-bengkel khusus semua negeri SG4 mengikut kluster masing-masing.

“Namun begitu, bengkel ini bukanlah kali pertama diadakan kerana kebanyakannya telahpun berbincang beberapa kali dan sudah memulai kerjasama yang diinginkan.

“Bengkel ini akan menilai target pencapaian untuk jangka masa pendek atau hasil yang dapat dilihat dengan segera (low-hanging fruits), pertengahan dan jangka masa panjang.

“Semoga bengkel exco-exco negeri SG4, yang diadakan mengikut kluster-kluster keutamaan, akan menghasilkan solusi bersama yang akan membuka kunci atau ‘unlock’ potensi-potensi yang hebat dan dahsyat ini insyaAllah,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/2024

- Advertisement -