
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan mengambil peluang mengadakan acara Sambutan Hari Kebangsaan di DUN masing-masing, sama ada 31 Ogos atau pada 1 September sepanjang bulan kemerdekaan ini.
Bersesuaian dengan Kerajaan Kelantan yang menyambutnya pada malam 31 Ogos bersekali sambutan Ambang Merdeka, ruang yang ada pada esoknya digunakan untuk aktiviti bersama rakyat di DUN masing-masing.
ADUN Meranti: Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud Menteri Besar Kelantan ini menghadiri program Karnival Merdeka Meranti 2024.
Beliau dan isteri Datin Panglima Perang Wan Nor Hanita Wan Yaacob telah melepaskan perarakan berbasikal yang disertai hampir 50 peserta yang terdiri dari dewasa dan kanak-kanak.
Sempena majlis itu juga, beliau turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah berupa barangan elektrik, basikal dan lain-lain lagi.
“Syabas dan tahniah rakyat Meranti memeriahkan Karnival Merdeka Meranti 2024 pada kali ini,” katanya.

ADUN Tanjong Mas: Rohani Ibrahim
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri ini meluangkan masa beberapa jam semalam untuk menziarahi rakyatnya yang sakit dan kematian.
Beliau meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarhamah Farizun Abdul Jabbar dalam DUN berkenaan.
Menurut Rohani, arwah Farizun meninggalkan harta paling bernilai, iaitu anak-anak yang soleh dan solehah.
“Nanti anak-anak doakan ibu ya,” ujar Rohani pada anak-anak arwah ketika meluangkan masa menziarahi mereka.

ADUN Salor: Saizol Ismail
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri ini telah mengimamkan solat jenazah Allahyarham Mohd Izani Mat Husin, 65 di Madrasah Pohon Tanjung, Mukim Seberang Pasir Mas.
Beliau diminta anggota keluarga arwah untuk mengimamkan solat jenazah allahyarham Mohd Izani.
“Semoga Allah tempatkan roh Allahyarham di kalangan hamba-hambaNya yang beriman,” katanya lagi.

ADUN Limbongan: Nor Asilah Mohamed Zin
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri ini telah merasmikan Bengkel Kemantapan Bacaan Al-Quran untuk Guru Halaqat Pasir Puteh.
Bengkel berkenaan dibimbing Tuan Guru Mohamad Hassan Ahmad, seorang tokoh yang dihormati dalam bidang Al-Quran yang diadakan di Masjid Al-Zahra, Jeram Pasu, Pasir Puteh.
“Semoga dengan penganjuran bengkel ini, diharapkan guru-guru Al-Quran dapat mempertingkatkan mutu bacaan serta pemahaman mereka dalam menyampaikan ilmu al-Quran kepada masyarakat,” ujarnya.

ADUN Chempaka: Nik Bahrum Nik Abdullah
Telah menghadiri bengkel berkaitan undang-undang yang diadakan selama dua hari anjuran Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM).
Menurut Nik Bahrum, program berkenaan diadakan padat dengan perbincangan yang merangkumi isu undang-undang.
“Kehadiran hanya melibatkan Ahli Jawatankuasa Pusat sahaja dan seorang wakil dari dewan,” ujarnya pada catatan di Facebook beliau. – HARAKAHDAILY 2/9/2024











