Sambutan Hari Kebangsaan di DUN Mata Ayer meriah

- Advertisement -

PADANG BESAR: Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer berlangsung meriah dengan  penuh semangat dan patriotisme pada 31 Ogos kelmarin.

- Advertisement -

Pelbagai acara menarik diadakan sepanjang hari, mengumpulkan penduduk dari pelbagai lapisan masyarakat dimulakan dengan perarakan merdeka yang melibatkan kira-kira 100 peserta, mewakili pelbagai komuniti.

Kontinjen yang terlibat menonjolkan kepelbagaian budaya dan tradisi, sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga, selain pemilihan Kontinjen Paling Cantik menambahkan lagi kemeriahan perarakan tersebut.

Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Padang Besar dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama, diikuti oleh Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Baroh serta Muslimat Mata Ayer di tempat kedua dan ketiga.

Selain perarakan, sambutan turut dimeriahkan dengan pertandingan futsal yang menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan pasukan yang bertanding.

Pasukan Gial Tengah berjaya muncul sebagai juara, manakala Mata Ayer 2 dan Hutan Temin serta Taman 20 masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli yang hadir bersama isteri, Najwa Othman dan turut memeriahkan majlis adalah Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi.

ADUN Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad dalam ucapannya, menzahirkan rasa bangga terhadap semangat kemerdekaan yang ditunjukkan oleh penduduk setempat.

Dengan laungan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”, beliau mengajak semua untuk menghargai kemakmuran dan kebebasan yang dinikmati sejak kemerdekaan negara 67 tahun lalu.

Beliau juga mengingatkan agar semangat kemerdekaan ini disambut dengan penuh kegembiraan dan agar Jalur Gemilang terus dikibarkan dengan bangga.

Sambutan Hari Kemerdekaan di DUN Mata Ayer bukan sahaja menyemarakkan semangat cinta akan negara, tetapi juga memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan penduduk.

Acara-acara diadakan mencerminkan kerjasama dan komitmen masyarakat dalam meraikan hari bersejarah ini, menjadikannya satu sambutan yang penuh makna dan kenangan. – HARAKAHDAILY 2/9/2024

- Advertisement -