
KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim menganggap tanggungjawabnya amat berat dalam State Goverment 4 (SG4).
Beliau diamanahkan untuk mengetuai Kluster Pertanian dan Keterjaminan Makanan SG4.
“Ia suatu tanggungjawab yang amat berat mengambil kira majoriti rakyat SG4 menjadikan sektor pertanian sebagai sumber utama sosioekonomi rakyat,” ujarnya dalam catatan di laman sosialnya, hari ini.
Dalam masa yang sama, katanya lebih 70 peratus bekalan beras negara datangnya dari negeri-negeri SG4.
“Kami bekerja dengan objektif untuk saling melengkapi antara satu sama lain,” ujarnya lagi.
Tambahnya, sektor pertanian melibatkan pelbagai peringkat rantaian pengeluaran.
Menurutnya lagi, semua negeri SG4 ada kelebihan masing-masing dalam melengkapkan supply chain.
“Di sinilah hubungan simbiosis perlu diwujudkan dengan objektif saling mengambil manfaat.
“Bergabung dalam SG4 bukan bermakna kita pencilkan diri dari berhubung dengan Persekutuan atau negeri-negeri lain,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.
Beliau menjelaskan SG4 adalah satu kerjasama ekonomi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Dalam masa yang sama kita terus perkasakan hubungan dengan Persekutuan malah membina jaringan sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
Buat julung kalinya, Sidang Kemuncak SG4 dilangsungkan hari ini dihadiri Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Panel Penasihat SG4, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta semua pimpinan negeri terdiri daripada Menteri Besar, Exco, pegawai-pegawai kanan, ketua-ketua jabatan dan wakil-wakil rakyat. – HARAKAHDAILY 2/9/2024




















