Israel-Hamas setuju hentikan pertempuran selama 3 hari

Perang Hamas-Israel dihentikan selama tiga hari selepas selepas seorang bayi disahkan disahkan dijangkiti penyakit polio.
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Pejuang Islam Palestin, Hamas dan tentera Zionis Israel bersetuju untuk menghentikan pertempuran selama tiga hari bagi membolehkan pusingan pertama vaksinasi sejumlah 640,000 kanak-kanak terhadap penyakit polio, selepas seorang bayi disahkan dijangkiti penyakit itu – kes pertama dalam tempoh 25 tahun.

Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Palestin, Rik Peeperkornia berkata, ia akan berlangsung selama tiga hari di tiga kawasan berbeza, di lokasi kempen vaksinasi yang akan bermula pada Ahad di tengah Semenanjung Gaza.

- Advertisement -

“Vaksinasi akan bermula di tengah Gaza dengan pemberhentian pertempuran selama tiga hari berturut-turut, kemudian akan bergerak ke selatan Gaza, di mana akan ada tiga hari lagi pemberhentian pertempuran, diikuti oleh utara Gaza,” katanya.

Beliau dalam pada itu menambah bahawa terdapat perjanjian untuk melanjutkan tempoh pemberhentian pertempuran di setiap zon kepada empat hari jika perlu, dan pihaknya perlu memberi vaksin sekurang-kurangnya 90 peratus kanak-kanak di Gaza untuk menghentikan penularan virus itu.

“Kita perlukan pemberhentian kemanusiaan ini, dan ianya jelas. Kita ada persetujuan mengenainya, jadi kami jangkakan semua pihak yang terlibat akan kekal dengannya.

“Sekurang-kurangnya 90 peratus perlindungan diperlukan setiap pusingan vaksin untuk menghentikan wabak dan mencegah penyebaran antarabangsa polio,” tambahnya.

Pemberhentian kemanusiaan ini bukanlah gencatan senjata antara Zionis Israel dan Hamas seperti yang diharapkan oleh banyak pihak antaranya Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar, termasuk perbincangan yang sedang berlangsung minggu ini.

Sementara itu, ahli biro politik Hamas, Basem Naim berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan organisasi antarabangsa bagi menjayakan kempen vaksinasi ini.

“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan organisasi antarabangsa bagi menjayakan kempen ini, berkhidmat dan melindungi lebih daripada 650,000 kanak-kanak Palestin di Semenanjung Gaza,” katanya.

WHO pada 23 Ogos lalu mengesahkan bahawa seorang bayi berusia 10 bulan lumpuh akibat virus polio jenis 2, kes pertama seumpama itu di Gaza dalam tempoh 25 tahun, selepas bayi itu terlepas vaksinasi akibat pertempuran antara Zionis Israel dan Hamas yang bermula pada 7 Oktober tahun lalu. – Agensi/– HARAKAHDAILY 30/8/2024

- Advertisement -