Gula, RON95 naik harga?: Rakyat berterusan ditekan

Hafez Sabri
- Advertisement -

KUALA LUMPUR:  “Rakyat lagi ditekan oleh Kerajaan Madani dengan kenaikan kos sara hidup, di samping tekanan hidup yang sangat tinggi dalam kalangan rakyat pada hari ini.”

Itu penegasan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri yang turut berkata, kenaikan harga diesel baru-baru ini telah memberikan kesan yang sangat dahsyat dan besar, dan memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia.

- Advertisement -

“Terbaharu pula, ada ura-ura yang menyatakan kemungkinan akan berlaku kenaikan harga petrol RON95 yang kita guna setiap hari.

“Tak cukup dengan itu, kita juga dengar ura-ura kemungkinan juga akan naik harga gula yang menjadi kegunaan rakyat setiap hari dan setiap masa.

“Kerajaan yang ada hari ini, mereka tekan hidup kita dengan cara macam ini,” katanya dalam satu kenyataan dalam hantaran video yang dimuatnaik dalam Facebook Pemuda PAS Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, menurutnya lagi, terdapat juga ura-ura kemungkinan akan berlakunya kenaikan terhadap taraf syiling beras putih dan tarif elektrik, yang kononnya untuk mengukuhkan fiskal negara.

“Saya nak sebut, ura-ura zaman kerajaan Madani ni, dia mula-mula ura-ura. Tapi ura-ura zaman kerajaan ini dia akan menjadi kenyataan, dan rakyat akan terkesan lagi dengan isu kos sara hidup yang semakin melambung tinggi,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi turut menegaskan bahawa rakyat mengalami kerugian disebabkan oleh polisi-polisi dan dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan pada hari ini.

“Tidakkah kerajaan sedar tentang kepincangan ini, yang semua dibebankan semula kepada rakyat? Janganlah semua (beban) diletakkan di atas bahu rakyat hari ini.

“Kerajaan kena sedar, rakyat sakit terluka umpama luka yang ditambah dengan garam, dititiskan dengan air asam, menyebabkan rakyat lebih sakit dan pedih dengan apa yang berlaku hari ini.

Tidak ada seorang rakyat pun dalam negara Malaysia ini yang suka dengan keadaan macam ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/8/2024

- Advertisement -