
MASJID TANAH: Polisi diguna pakai kerajaan pada waktu ini yang mensyaratkan seseorang mangsa banjir itu perlu berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk membolehkan mereka mendapat bantuan harus diubah.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini adalah kerana tidak semua mangsa banjir akan tinggal di PPS atas banyak faktor.
“Sebab kalau duduk dekat PPS baru dapat duit (bantuan) RM150, baru dapat duit bantuan daripada kerajaan negeri, Kerajaan Pusat, ini apa cerita ni?
“Kalau orang tu dia tak boleh nak keluar mengapa kita nak hilangkan hak dia sebagai rakyat Malaysia yang berhak untuk mendapat bantuan,” persoalnya.
Menurut beliau, berlaku dalam kejadian banjir baru-baru ini ada mangsa yang terperangkap di kawasan rumahnya dan terpaksa bermalam di kawasan berhampiran lebih tinggi.
Katanya, mangsa ini tidak berpeluang dipindahkan ke PPS sehingga banjir surut menyebabkan mereka tidak menerima bantuan walaupun mereka mangsa banjir.
“Ada juga antara mereka yang selesa berpindah ke rumah saudara mara dan sebagainya. Mereka tak mahu duduk di PPS, tetapi disebabkan itu mereka tidak menerima bantuan.
“Berlaku juga dalam banjir baru-baru ini apabila PPS tidak mencukupi. Ada mangsa yang datang mereka kata PPS dah penuh dan mereka tidak dapat tinggal di PPS,” katanya.
Jelas beliau, sewajarnya cukup hanya dengan laporan polis yang mengesahkan mereka adalah mangsa banjir untuk membolehkan mereka mendapat bantuan yang ditentukan kerajaan kepada mangsa-mangsa banjir.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily hari ini sewaktu menyampaikan bantuan berupa tilam lipat kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar DUN Ayer Limau melibatkan kampung-kampung sekitar kawasan Ramuan China.
Semalam pihaknya telah mengedarkan bantuan tersebut di kampung Ayer Pa’abas, Brisu, Pengkalan Pauh, Padang Kambing dan Sungai Jerneh dan edaran itu dijangka akan selesai esok.
Tilam-tilam tersebut yang diedar bagi meringankan bebanan mangsa banjir di situ adalah sumbangan daripada Pertubuhan Ikatan Cina Melaka yang sebelum ini banyak membantu program-program kebajikan tanpa mengira sempadan politik.
Mas Ermieyati yang juga Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah itu turut mengulas mengenai prosedur menghadapi banjir yang dilihat masih lemah berdasarkan pengalaman menghadapi beberapa bencana itu sebelum ini.
Katanya, ada mangsa banjir terperangkap di kawasan rumah masing-masing tanpa menerima bantuan untuk dipindahkan dan juga tiada arahan jelas dari pihak berkuasa untuk berpindah lebih awal walaupun kawasan mereka memang biasa berlaku banjir.
“Maksudnya, pihak ketua kampung ataupun pemimpin kampung patut dah tahu dah dan kenal pasti siapa-siapa yang tak keluar lagi, siapa-siapa yang perlu bantuan dan sebagainya sebab ini melibatkan nyawa.
“Jadi mereka bagitahu mereka tak boleh nak keluar. Saya terkejut, mereka kata mereka terpaksa tidur, dekat tanah kubur sebab tempat tu saja yang selamat. Itu mengejutkan kami,” katanya.
Tambah beliau, mereka yang terlibat itu tidak mempunyai bekalan makanan, tiada bantuan dan tiada pihak yang membantu mereka berpindah ke PPS.
“Prosedur berhadapan bencana ni patut diuar-uarkan dan dibekalkan dan juga diberi latihan kepada semua pimpinan kampung ataupun taman dan sebagainya. Supaya mereka apabila berlaku musibah saja, terutamanya mereka tahu apa nak buat.
“Bagaimana untuk membuat laporan contohnya. Supaya tidak memberikan kemudaratan kepada masyarakat kampung kerana mereka kurang pengetahuan berhadapan situasi ini,” katanya.
Turut serta di dalam edaran tersebut ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman dan Ketua Penerangan Pertubuhan Ikatan Cina Melaka, Bryan Goh Han Meng.
Banjir yang bermula di Bandar Masjid Tanah pada Ahad petang 11 Ogos lepas dan kemudiannya merebak ke kawasan-kawasan lain dalam Parlimen Masjid Tanah itu disifatkan penduduk tempatan sebagai terburuk dalam tempoh lebih 10 tahun.
Ia turut melibatkan pembukaan sebanyak sembilan buah Pusat-pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan mangsa tertinggi direkodkan berada di PPS ialah pada Isnin 12 Ogos iaitu seramai 419 orang. – HARAKAHDAILY 30/8/2024














