Perlis tingkat jati diri pelajar cemerlang di Teluk Bahang

- Advertisement -

KANGAR: Seramai 101 pelajar tingkatan empat dari 30 sekolah menengah di negeri ini telah menyertai Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang di Teluk Bahang, Pulau Pinang.

- Advertisement -

Pada hari pertama bengkel diserikan dengan keberangkatan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr  Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut serta anakanda kedua baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail ke program selama tiga hari dua malam bermula 27 hingga hari ini tersebut.

Ketibaan baginda disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Penyelaras dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Bengkel tersebut dianjurkan oleh YTSP dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Pendidikan negeri (JPN) dan UniMAP serta ditaja oleh Yayasan Bank Rakyat.

Program diadakan sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan daripada pihak YTSP Perlis dan MAIPs kepada pelajar-pelajar terbaik dan cemerlang.

Juga melibatkan pengawas terpilih tingkatan 4 yang berpotensi untuk dilantik sebagai Ketua Murid pada tahun berikutnya di sekolah masing-masing.

Aktiviti pada hari pertama dimulakan dengan sesi riadah dan suai kenal di tepi pantai, diikuti dengan sesi perkongsian bertajuk ‘Kualiti Kepimpinan’ yang disampaikan dengan penuh inspirasi oleh Datuk Johari.

Sesi ini kemudian diteruskan dengan aktiviti kerja berkumpulan yang dikendalikan oleh Muhamad Azuan di mana objektif utama bengkel tersebut adalah untuk mengaplikasikan kemahiran pembelajaran.

Juga meningkatkan sahsiah pelajar, serta mencungkil bakat kepimpinan dan semangat kerjasama berpasukan, khususnya dalam usaha melahirkan barisan pemimpin masa depan berpotensi memajukan negeri Perlis.

Peserta turut terlibat dalam sesi perbincangan berkaitan pembinaan pasukan kepimpinan yang bertujuan  melahirkan generasi pemimpin dalam kalangan anak-anak Perlis yang kompetitif dan unggul. – HARAKAHDAILY 29/8/2024

- Advertisement -