
KANGAR: Sukan sememangnya diakui menjadi medan dan alat penyatuan yang dapat merentasi segala perbezaan sedia wujud dalam masyarakat majmuk negara ini termasuk fahaman politik.
Persatuan Wartawan Perlis (PWP) justeru itu mengambil inisiatif menganjurkan Futsal Perpaduan 2.0 sebagai langkah memperkukuhkan hubungan terutama dalam kalangan anak muda.
Acara menyaksikan penglibatan pelbagai sayap pemuda dari parti-parti politik utama di negeri ini telah berlangsung di Futsal Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kangar, di sini malam tadi.
Antara mengambil bahagian ialah Dewan Pemuda PAS, Pergerakan Pemuda Umno, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Armada BERSATU dan Pemuda PAN.
Presiden Persatuan Wartawan Perlis, Syed Azlan Syed Hizar berkata, sukan merupakan satu platform terbaik untuk menyatukan masyarakat.
“Walaupun kita mempunyai pandangan dan pendirian politik yang berbeza, sukan mampu menyatukan kita sebagai satu bangsa.
“Futsal Perpaduan 2.0 ini adalah bukti bahawa kita boleh bekerjasama dan menikmati keseronokan sukan tanpa mengira perbezaan politik,” katanya.
Ujarnya lagi, acara tersebut bukan sahaja menjadi medan persaingan sukan yang sihat tetapi juga sebagai lambang kepada usaha penyatuan lebih besar dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya di negeri Perlis
“Sambutan hangat dari pemuda-pemudi Perlis menunjukkan inisiatif seperti ini amat diperlukan dalam memupuk perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 29/8/2024











