
KOTA BHARU: Program Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darulnaim dianggap selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia dan cintakan ilmu.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri sebelum ini melancar Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan yang dilaksana di seluruh institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri.
Menurutnya menjadi harapan kerajaan negeri untuk melahirkan insan dan komuniti rabbani iaitu sebuah masyarakat yang hidup berlandaskan al-Quran dan sunnah.
“Oleh sebab itu, buku adalah sumber ilmu yang tidak ternilai dan ia merupakan jendela kepada dunia pengetahuan yang luas.
“Melalui pembacaan kita dapat memperkayakan minda meningkatkan daya pemikiran dan menyuburkan semangat ingin tahu dalam diri setiap individu,” katanya pada perasmian Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darulnaim 2024 di Mydin Mall Tunjong dekat sini hari ini.
Sempena program itu Menteri Besar turut melancar buku ‘Agungnya Kitab Suci Al-Quran’ tulisan Tokoh Hijratul Rasul Kelantan, Dr Mohd Zain Mahmood.
Mohd Nassuruddin juga berkata, berdasarkan Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia yang dijalankan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati kadar pembacaan rakyat Malaysia semakin meningkat.
Tambahnya, hasil kajian menunjukkan peningkatan ketara iaitu daripada dua naskhah buku setahun pada tahun 2005 kepada 15 naskhah setahun pada 2014.
Kata beliau bagi tempoh 2022 sehingga tahun ini, naskhah buku yang dibaca terus meningkat kepada 24 setahun.
“Namun, apabila dilihat kepada kecenderungan bahan bacaan yang menjadi pilihan pembaca sebanyak 34.5 peratus memilih bacaan fiksyen iaitu karya sastera seperti novel.
“Manakala hanya 10.2 peratus sahaja yang memilih karya agama sebagai bacaan mereka berdasarkan 695,488 buku yang dipinjam dari Perpustakaan Negara Malaysia.
“Jumlah berkenaan belum lagi dikira seberapa lama masa diperuntukkan individu untuk membaca dan memahami al-Quran,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/8/2024




















