PPMM sokong DUN Kedah perkasa Mahkamah Syariah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyambut baik dan menyokong usaha yang konsisten Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berikutan terus memperkasa kedudukan Mahkamah Syariah melalui pindaan kepada perundangan sedia ada, semalam.

- Advertisement -

Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki berkata, DUN Kedah telah meluluskan Rang Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan 2024) yang mana telah meletakkan kedudukan Mahkamah Syariah negeri itu di bawah undang-undang tubuh Negeri Kedah.

“PPMM juga percaya usaha dan langkah ini adalah amat tepat dan sesuai pada masa ini dalam menjalankan usaha bagi negeri-negeri di bawah naungan Sultan atau Raja dalam terus memperkasakan taraf Mahkamah Syariah.

“PPMM berharap usaha mengukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah ini dapat dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan undang-undang Islam dapat diamalkan mengikut peruntukan perundangan yang diperuntukkan di bawah kuasa negeri,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

PPMM juga menurut beliau, melihat usaha tersebut dapat mengekang pelbagai pihak daripada membandingkan asas penubuhan Mahkamah Syariah negeri-negeri dengan penubuhan Mahkamah Sivil.

Beliau berkata, dengan wujudnya pindaan pada undang-undang tubuh negeri tersebut, PPMM percaya perkara tersebut dapat mengangkat taraf dan kedudukan Mahkamah Syariah sekali gus dapat dihargai dan dihormati selaku undang-undang yang meliputi kaum majoriti rakyat dalam negara serta dapat mengekang cabaran-cabaran berkenaan keabsahan undang-undang syariah bagi negeri-negeri di tanah air.

“PPMM juga percaya terdapat ruang-ruang lain yang dapat dikaji dan dilakukan pindaan-pindaan enakmen atau akta undang-undang Islam negeri yang dapat meningkatkan haibah undang-undang dan institusi Mahkamah Syariah negeri-negeri termasuk merealisasikan fungsi pindaan struktur lapisan Mahkamah Syariah sedia ada.

“PPMM juga merafak sembah dan menjunjung kasih kepada titah Sultan Kedah yang inginkan langkah pemerkasaan Mahkamah Syariah dilakukan dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah.

“PPMM menggesa kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri untuk terus bekerjasama dalam merealisasikan hasrat mendaulatkan syariah di tanah air yang tercinta ini,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 26/8/2024

- Advertisement -