Perang Lubnan-Israel masuki fasa besar-besaran

Kepul asap dirakam dari tapak serangan udara Zionis Israel di Zibqin, selatan Lubnan, pada semalam, 25 Ogos 2024. (FOTO: AFP/Getty Images)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bermula awal pagi semalam (25 Ogos) (waktu tempatan), tentera rejim Zionis Israel mengumumkan telah melancarkan serangan udara besar-besaran (pre-emptive strike) ke atas selatan Lubnan.

Ia menyasarkan kedudukan Hizbullah bagi menghalang pejuang Islam Lubnan itu daripada bertindakbalas ke atas negara haram Israel, susulan pembunuhan komander Hizbullah, Sayyed Fouad Ali Shokr dan jenayah perang yang dilakukan regim Zionis di Semenanjung Gaza.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, berikutan serangan tersebut, rejim Zionis Israel telah menutup Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion termasuk mengarahkan pendatang haram Yahudi khususnya di utara negara haram Israel agar bersiap sedia untuk berpindah ke kubu bawah tanah (bunker) bagi menghadapi tindak balas Hizbullah.

“Hizbullah bertindakbalas terhadap serangan tersebut, mengumumkan serangan fasa pertama dengan melancarkan serangan roket dan dron ke arah negara haram Israel khususnya terhadap aset-aset utama dan kem-kem tentera rejim Zionis Israel yang dilaporkan majoritinya mengenai sasaran berikutan kegagalan sistem pertahanan Iron Dome tentera regim Zionis Israel,” katanya dalam kenyataan di media sosial miliknya.

Muhammad Khalil Abdul Hadi

Sehubungan itu menurut beliau, turut dilaporkan sebuah bot peronda laju kelas ‘Dvora’ milik tentera rejim yang berada di pesisir pantai negara haram Israel mengalami kerosakan teruk serta anggota tenteranya yang berada di dalam bot tersebut dilaporkan terkorban dan cedera berikutan serangan peluru berpandu Hizbullah.

Tambah Khalil, kerajaan negara haram Israel kemudiannya telah mengisytiharkan situasi kecemasan seluruh negaranya selama 48 jam dan mengarahkan agar pendatang haram Yahudi bersiap sedia bagi menghadapi serangan balas Hizbullah.

“Mesir pula memberi amaran kepada Ketua Turus Angkatan Tentera Amerika Syarikat, Jeneral Charles Q. Brown, akan bahaya perang besar-besaran yang bakal meletus di Lubnan ketika beliau tiba di Kaherah, Mesir semalam. 

“Mesir juga menggesa agar Hizbullah menghentikan serangan ke atas negara haram Israel bagi mengelak ia menjadi konflik serantau yang lebih besar.

“Kumpulan pejuang Houthi turut mengumumkan akan melancarkan serangan ke atas negara haram Israel berikutan serangan Hizbullah ke atas negara haram Israel,” elas beliau.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, menurut Khalil, seramai 71 warga Semenanjung Gaza telah terkorban akibat serangan udara tentera regim Zionis Israel di khemah penempatan sementara pelarian Palestin di Dier Al-Balah, bandar Gaza walaupun ketika itu dilaporkan wakil Hamas berada di Kaherah, Mesir bagi membincangkan lanjutan rundingan gencatan senjata di Semenanjung Gaza walaupun Benjamin Netanyahu berdolak dalih dan menolak gencatan senjata tersebut.

Sehubungan Khalil menyeru agar serangan genosid, khususnya terhadap bumi Palestin ditamatkan segera.

“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, merdekakan Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2024

- Advertisement -