Tayangan big screen final FA Cup malam esok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malam 24 Ogos (esok) bakal menjadi saksi pasukan manakah yang akan menoktahkan kejuaraan Piala FA Malaysia bagi tahun 2024.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Bernam, Muiz Mahyuddin berkata, perseteruan di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC pastinya menjanjikan aksi yang menarik untuk disaksikan oleh penyokong bola sepak tanah air. 

- Advertisement -

Menurutnya, lebih menarik lagi apabila pertembungan itu bukan sahaja untuk mencari pasukan yang layak menjulang Piala FA Malaysia, namun turut menjadi tumpuan buat dua pemain yang akan merebut gelaran penjaring terbanyak dalam kempen Piala FA Malaysia 2024.

“Orang ramai dijemput hadir ke Dewan Besar Hulu Bernam untuk menyaksikan ‘tayangan big screen final FA Cup’  secara percuma yang akan diadakan malam esok, bermula jam 8.30 hingga 11 malam.  

“Terdapat dua skrin besar akan dipaparkan iaitu skrin LED akan dipaparkan di dalam dewan, manakala skrin projektor dipancarkan di luar dewan,” katanya. 

Sehubungan itu, Muiz  turut menjemput semua penyokong yang hadir untuk memakai pakaian berwarna merah kuning untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada pasukan Selangor FC.

“Ayuh semua! Kita juga dapat menyaksikan pemain Selangor, Faisal Halim yang akan bersama-sama beraksi dalam perlawanan akhir bola sepak. 

“Kita pastikan pada Sabtu ini, Selangor sekali lagi dapat menjulang piala FA kali yang ke-7. 

“Makanan dan minuman turut disediakan kepada para penonton. Selain itu, turut disediakan aktiviti cabutan bertuah dan kuiz kepada mereka yang hadir.  

“Hadiah berupa hamper, barangan sukan seperti jersi Selangor dan bola serta hadiah utama iaitu basikal lipat (folding bike) akan diberikan kepada penonton yang berjaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/8/2024

- Advertisement -