Produk kesihatan: Jangan mudah dakwa diri pakar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Akhir-akhir ini semakin ramai yang cuba mengambil peluang dan meraih keuntungan menjual produk-produk kesihatan kononnya atas dasar mereka itu pakar., sedangkan kepakaran mereka itu tidak terdapat dalam jadual kepakaran Akta Perubatan dalam negara.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, demi menjaga kualiti dan keselamatan pengurusan pesakit dalam negara, Akta Perubatan sudah lama dibentuk dan mengalami beberapa pindaan supaya ia semakin mantap.

- Advertisement -

“Pindaan terbaharu Akta Perubatan 50 (1971) telah diluluskan di Parlimen dan Dewan Negara 27 Julai 2024 lalu.

“Antara elemen penting yang diluluskan dalam pindaan yang terbaharu itu adalah mengenai gelaran dan pengiktirafan kepakaran dan subkepakaran di dalam perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Menurut beliau,Seksyen 14B dan 14C menyatakan mana-mana orang berhak dan layak untuk didaftarkan sebagai pakar dengan syarat, pertama, dia telah berdaftar sebagai pegawai perubatan berdaftar Majlis Perubatan Malaysia;

“Syarat kedua pula ialah mendapat sijil kelulusan yang diiktiraf merujuk kepada jadual ke-4 Akta; 

“Syarat ketiga ialah mengikut dan sempurna latihan kepakaran atau sub-kepakaran (Silibus dan persijilan yang diiktiraf)

“Sementara, syarat keempat ialah mempunyai pengalaman kerja yang diseliakan.

“Syarat kelima ialah selepas Majlis Perubatan Malaysia berpuas hati dengan kompetensi dan akhlak pemohon,” jelasnya.

Tambah beliau, seksyen 14D pula menyatakan mana-mana pakar (rujuk 14B dan C) boleh diiktiraf dan didaftarkan dalam sub-kepakaran yang merujuk kepada jadual ke-5 serta syarat-syarat yang dinyatakan di atas.

Justeru menurut Suhazeli, tidak boleh sewenang-wenangnya seseorang itu mendakwa diri mereka sebagai pakar dalam sesuatu bidang dan menjalankan aktiviti-aktiviti memeriksa dalam kes ini, apa sahaja yang berkaitan kesihatan.

Tambah Suhazeli, ia termasuk tidak boleh membuat aktiviti merawat, mendiagnosis dan memberikan ubat, mahu pun memberi pendidikan kesihatan mengikut bidang kepakaran yang mereka dakwa itu, kecuali setelah kepakaran ataupun sub-kepakaran itu telah diluluskan melalui proses undang-undang tersebut.

“Jika mereka mendakwa bahawa kepakaran atau sub-kepakaran yang mereka beramal sekarang itu terdapat bukti kukuh dan berkemampuan untuk dijadikan salah satu dari bidang kepakaran di dalam Akta Perubatan,

“Maka, Fasal ke-10 Akta Perubatan itu memberi ruang kepada individu atau organisasi untuk mengemukakan permohonan kemasukan kepakaran atau sub-kepakaran mereka ke dalam jadual ke-4 dan ke-5 seperti yang dinyatakan di atas. 

“Majlis Perubatan Malaysia (MMC) akan menilai dan meneliti permohonan itu mengikuti peraturan-peraturan yang ditetapkan di dalam akta itu sendiri,” katanya.

- Advertisement -