‘Wabak’ orang hilang resahkan rakyat Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hari ini negara bagaikan dilanda ‘wabak’ kehilangan orang dan hampir setiap hari berita tersebut dilaporkan.

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, kebanyakan mangsa dijumpai pula dalam keadaan yang sangat menyayat hati.

- Advertisement -

“Kalau dahulu waktu wabak Covid-19 tengah memuncak, kita takut dengan berita kes positif baru yang meningkat, berita ditidurkan dan kematian.

“Trauma buat ahli keluarga dan orang sekeliling. Keluar rumah sahaja kita akan terdedah kepada pelbagai risiko bahaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Zurk berkata, rakyat mengharapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua pihak berkuasa perlu mula mengambil tindakan tegas bagi meningkatkan pemantauan keselamatan terutama di kawasan awam.

Menurutnya, rakyat Malaysia dinasihati supaya menjaga keselamatan diri dan sentiasa memaklumkan keberadaan diri kepada orang terdekat.

“Elakkan keluar sendirian jika tidak ada keperluan mendesak terutamanya pada waktu-waktu lewat malam dan kawasan sunyi.

“Jangan ambil tindakan dalam keadaan bahaya seorang diri dan kongsi semua masalah yang anda hadapi dengan keluarga dan kawan terdekat.

“Semoga kita semua dilindungi oleh Yang Maha Esa. Kita jaga kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/8/2024

- Advertisement -