
KUALA LUMPUR: “Saya berani menyahut cabaran dalam apa jua isu yang ingin dikemukakan dalam parlimen sebagai seorang anak jantan.”
Itu respons Ketua Armada Bersatu Malaysia Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal merangkap Ahli Parlimen (MP) Machang terhadap kenyataan MP Bukit Jelutong, RSN Rayer dalam laporan media Malaysiakini semalam.
Fayhsal menyatakan sudah beberapa kali mencabar Menteri Ekonomi Rafizi Rami dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil untuk cabaran debat mengenai isu BlackRock tetapi tidak dijawab oleh kedua-dua menteri tersebut.
“Jadi, siapa sebenarnya yang bukan anak jantan?
“Saya rasa beliau (Rayer) tak perlu risau kerana saya anak jantan untuk berdepan dengan puaknya.
“Cuma, saya nasihatkan beliau buat dan sokong usul pihak kerajaan tarik balik penggantungan saya dalam Dewan Rakyat untuk saya berbahas dalam sidang Belanjawan 2025 Oktober ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Presiden Bersatu iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri telah memberi jaminan untuk bekerjasama dengan pihak polis sepenuhnya berhubung isu kenyataan yang dibuat ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.
Tambahnya, sudah banyak fitnah yang dilakukan bukan sahaja terhadap Muhyiddin tetapi juga terhadap Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud melalui suntingan yang dilakukan oleh media kerajaan itu sendiri.
“Sudah beberapa kali media-media portal dan tentera siber pihak kerajaan megubah dan menyunting ucapan pemimpin kami untuk menghasut rakyat supaya mewujudkan salah faham.
“Yang menghairankan ialah semua salah laku ini tidak dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi Media Malaysia (SKMM) sama sekali walaupun sudah terlalu banyak laporan polis dibuat,” jelasnya.
Sehubungan itu, Fayhsal juga mempersoalkan sebelum ini parti komponen kerajaan sendiri pun menghasut golongan bukan Melayu khususnya kaum Tionghua mengenai propaganda ‘gelombang hijau’, komik yang menghina Islam dan mengangkat perjuangan komunis.
Kata beliau lagi, tiada tindakan pun diambil oleh kerajaan mengenai isu sebegini walaupun menyentuh isu 3R iaitu Raja, Bangsa dan Agama.
“Maka sekali lagi saya ingin berkata kepada ahli Parlimen Jelutong iaitu jangan risau kerana saya sebagai ahli Parlimen Machang anak jantan untuk lawan dengan puak kamu tetapi dengan syarat tiada elemen pukul curi digunakan dalam gelanggang demokrasi ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/8/2024




















