Percaya, yakin Muhyiddin hormati lunas perundangan

Hamzah Zainudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau akan menghormati lunas perundangan dengan hadir memberikan keterangan kepada pihak berkuasa pada hari esok (21 Ogos).

Setiausaha Agungnya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, semua pihak juga diseru supaya bertenang dan berdoa kepada Allah SWT agar perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

- Advertisement -

“Pucuk pimpinan Bersatu sedang meneliti secara halus isu melibatkan ucapan Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin semasa kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada malam 14 Ogos 2024 lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Pahang memohon agar satu siasatan yang adil dijalankan atas dakwaan tersebut.

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya telah meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas mereka.

“Justeru, semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap titah Tuanku,” ujarnya.

Terdahulu, Muhyiddin Yassin menegaskan ucapannya ketika kempen PRK DUN Nenggiri tidak berniat menghina Institusi Raja dan memaklumkan ucapan berkenaan adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.

“Saya percaya kenyataan saya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook.

Beliau dalam pada itu berjanji memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan yang dikeluarkan.

Susulan itu, Pengarah Pilihan Raya Pemuda PN, Akmal Zahin Zainal Zahir membuat laporan polis berhubung suatu video yang dimuat naik di platform sosial media YouTube oleh pemegang akaun Suara Keadilan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, tadi.

Akmal Zahin berkata, keratan video yang digunakan itu bukanlah ucapan penuh Muhyiddin Yassin tetapi adalah ucapan yang telah disunting dan diambil di luar konteks.

Sementara itu, Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berharap siasatan pihak polis dan apa sahaja yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa mampu membersihkan semula nama Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Ahmad Fayhsal berkata, berlakunya ketegangan antara institusi diraja dengan PN adalah berpunca daripada laman-laman media sosial yang telah menyunting secara salah.

“Saya rasa ini adalah satu benda yang tidak bertanggungjawab malah bagi saya bacul kerana mengambil sekerat-sekerat memotongnya dan melagakan dengan menyebarkan kepada rakyat.

“Sedangkan kita tahu Perikatan Nasional dan Bersatu adalah parti yang mempertahankan agama, bangsa dan negara. Mana mungkin kami akan meruntuhkan institusi Raja-raja Melayu,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2024

- Advertisement -