
KUANTAN: Agak rumit juga penyakit yang dialami Adik Nur Hanaani Faraysha Abdul Razak yang tinggal Taman Balok Permai.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu, Adik Faraysha nampak okey tetapi sebenarnya dia ada beberapa masalah kesihatan yang memerlukan perhatian berterusan.
Katanya, Adik Faraysha disahkan doktor mengidap penyakit berkaitan hormon tiroid yang menjejaskan kawalan berat badan, metabolisme, pertumbuhan dan perkembangan.
Tambah merumitkan, ujarnya ekoran daripada masalah tersebut dia mengalami masalah kegemukan yang menyebabkan gangguan pernafasan ketika tidur.
“Pernafasannya tidak teratur dan mungkin terhenti ketika tidur. Doktor menyarankan Adik Faraysha menggunakan mesin pernafasan BIPAP sepanjang hayat.
“Ibunya pula tidak begitu baik kesihatannya. Pernah dua kali diserang strok, pergerakan dan penglihatannya kini terjejas,” ujarnya dalam catatan di laman Facebook beliau, hari ini.
Katanya, beliau yang menziarahi mereka baru-baru ini bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan masalah yang dihadapi setelah dimaklumkan. (Foto atas)
“Insya-Allah pihak saya akan cuba bantu dapatkan bantuan daripada MUIP untuk pembelian mesin pernafasan yang diperlukan,” katanya.
Menurutnya lagi, beliau tidak pasti berapa kosnya tetapi mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak yang sedia untuk menyumbang kepada Adik Faraysha.
“Boleh berhubung dengan pihak saya untuk kami aturkan.
“Sama-sama kita doakan kesejahteraan daripada Allah untuk Adik Faraysha dan ibunya serta seisi keluarga,” ujarnya lagi.
Beliau juga berharap semoga mereka diberikan rahmat dan kekuatan oleh Allah atas ujian yang dihadapi. – HARAKAHDAILY 20/8/2024











