
JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo dijangka akan merombak kabinetnya pada hari ini, Isnin hanya beberapa minggu sebelum beliau meletakkan jawatan dalam usaha untuk memudahkan peralihan kepada penggantinya, Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto.
Penyelaras Kakitangan Khas Presiden, Ari Dwipayana berkata, Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi bakal hadir untuk menyaksikan majlis angkat sumpah menteri baharu bagi portfolio undang-undang dan hak asasi manusia; tenaga dan sumber mineral serta pelaburan, pagi ini, lapor AFP.
Menurut Dwiyapana, Jokowi juga bakal melantik ketua bagi agensi yang baharu diwujudkan masing-masing dalam sektor makanan dan ubat serta pemakanan nasional.
“Pelantikan menteri dan ketua agensi ini perlu bagi memudahkan peralihan pentadbiran kerajaan yang lancar, teratur dan berkesan,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Terdahulu, agensi pemakanan nasional diwujudkan, bertujuan menyokong janji utama kempen Prabowo yang bernilai berbilion dolar untuk memberi makanan percuma kepada murid-murid di sekolah.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif di institut penyelidikan Charta Politika, Yunarto Wijaya berkata. menteri baharu itu adalah ‘orang Prabowo’, yang diluluskan oleh Jokowi.
“Kemungkinan terdapat kesan politik, selain tujuan peralihan,” tegasnya.
Jokowi dijadualkan menyerahkan tampuk pemerintahan pada Oktober ini, dengan rekod prestasi ekonomi yang memberikan pertumbuhan konsisten pasca pandemik Covid-19.
Beliauyang dibesarkan di pondok buluh di kawasan setinggan tepi sungai di pulau terbesar Indonesia di Jawa, minggu lalu memuji rekod kerajaannya mengenai ekonomi, pembangunan dan pembinaan infrastruktur dalam ucapan terakhirnya di negara itu.
Pemimpin Indonesia itu telah berkhidmat maksimum dua penggal selama sedekad berkuasa selepas menewaskan Prabowo dua kali pada pilihan raya 2014 dan 2019.
Prabowo menang dengan anak sulung Jokowi, Gibran Rakabuming Raka bertanding sebagai calon naib presiden, yang kemudian menimbulkan tuduhan nepotisme.
Jumlah undian dimenangi Prabowo melonjak susulan sokongan Jokowi dan Gibran, selain beliau berjanji meneruskan dasar ekonomi yang popular di mata rakyat Indonesia.
Namun, proses pembinaan projek legasi utama Jokowi – ibu negara baharu Indonesia di pulau Borneo dengan anggaran kos mencecah AS$32 billion (RM140 bilion) berdepan masalah kelewatan dan isu pendanaan. -Agensi/– HARAKAHDAILY 19/8/2024




















