
KUALA LUMPUR: “Faktor kemenangan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri adalah kerana parti itu dilihat bertanding secara bersendirian tanpa bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP.”
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, perkara tersebut adalah faktor penting, selain dakwaan mengenai amalan politik wang dan salah guna jentera kerajaan pada PRK tersebut.
Menurutnya, faktor tersebut turut diperakui oleh pemimpin-pemimpin Umno, malah berdasarkan pemerhatian beliau, faktor itulah yang telah berjaya menarik ramai pengundi tradisi Umno untuk keluar mengundi kali ini.
“Berikutan dengan itu, peratusan pengundi yang keluar mengundi telah meningkat dengan mendadak. Sejak dari awal lagi, Umno memasuki PRK Nenggiri dengan menampilkan naratif bahawa pertembungan kali ini adalah antara BN dan PN.
“Atau lebih khusus lagi antara Umno dan Bersatu. Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, jauh sebelum penamaan calon mengingatkan DAP, jangan turun membantu BN dalam PRK Nenggiri.
“Lebih daripada itu, dikhabarkan beberapa pemimpin PH juga disenarai hitam untuk turun ke PRK ini membantu calon Umno, terutamanya pemimpin PH yang sebelum ini menjadi kuda perang utama PH menyerang (Bekas Presiden Umno) Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
“Dengan semua ikhtiar ini, Umno mahu dilihat bersendirian menghadapi PRK Nenggiri,” katanya yang memperlihatkan Umno sedar pengundi tradisi mereka memprotes parti itu hingga tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ogos 2023 lalu.
Tambahnya, berbekalkan strategi tersebut, pengundi-pengundi tradisi Umno telah kembali turun sehingga berlaku peningkatan sokongan kepada BN pada PRK DUN Nenggiri kali ini.
“Trend undi protes ini dilihat dengan jelas dalam PRN enam negeri tahun lalu, dan juga siri PRK yang bermula di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor, sehinggalah PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang.
“Sama ada calon Umno bertanding atau calon parti komponen dalam Kerajaan Campuran bertanding, pengundi tradisi Umno memprotes. Mahu tidak mahu Umno akhirnya merubah strategi mereka,” jelasnya.
Dari satu sudut pandangan lain, ujar Zuhdi, kemenangan Umno di PRK Nenggiri boleh dilihat sebagai satu ‘referendum’ oleh para pengundi tradisi mereka supaya selepas ini Umno-BN mesti bersendirian memasuki PRK dan seterusnya PRU16 tanpa kerjasama dengan PH.
“Perkara ini telah juga disuarakan oleh sebahagian pemimpin dan ahli Umno, sehingga ada pemimpin-pemimpin Umno telah dipecat atau mereka sendiri yang melepaskan jawatan
“Bahkan, beberapa Bahagian Umno juga telah bersuara sedemikian seusai Mesyuarat Agung Bahagian Umno hingga kali ini, pengundi akar umbi Umno di Nenggiri juga memberi isyarat yang sama,” ujarnya.
Zuhdi menyatakan, salah seorang Ketua Bahagian Umno yang menyuarakan kegelisahan akar umbi berkaitan kerjasama Umno dan PH khususnya DAP ialah Ketua Bahagian Umno Kluang, Datuk Md Jais Sarday.
“Beliau telah berkata, kerjasama dengan DAP bukan sahaja merugikan Umno, bahkan menjadi duri dalam daging yang merugikan orang Melayu. Suara Umno Kluang ini seperti boleh difahami, Umno perlu segera memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP.
“Semakin lama kerjasama tersebut, DAP akan melakukan bermacam tuntutan yang merugikan perjuangan Umno dalam mempertahankan hak orang Melayu.
“Boleh jadi dalam PRK Mahkota nanti yang terletak di dalam Parlimen Kluang, Umno Bahagian Kluang akan mendesak menggunakan strategi yang sama dengan PRK Nenggiri,” katanya lagi.
PH khususnya DAP menurut Zuhdi, tidak dialu-alukan turun membantu calon Umno yang bakal bertanding di PRK Mahkota, supaya Umno atau BN tidak dilihat ada kerjasama dengan DAP.
“Sekiranya PRK Nenggiri yang menggunakan strategi ini boleh menarik semula sokongan pengundi tradisi Umno, mengapa PRK Mahkota Umno tidak menggunakan strategi yang sama?
“Bagaimanapun, pilihan ini agak sukar kerana Kluang adalah kubu kuat DAP, justeru tidak mungkin DAP tidak dialu-alukan,” tegasnya.
Tambah beliau, referendum PRK Nenggiri ini dan desakan beberapa Ketua Bahagian Umno agar memutuskan hubungan dengan DAP dijangka akan menjadi isu utama yang dibahaskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) terdekat.
Memutuskan hubungan dengan DAP juga katanya, bermaksud memutuskan hubungan dengan PH, kerana DAP adalah komponen paling berpengaruh di dalam PH.
“Kesemua parti komponen PH, iaitu PKR dan PAN, bergantung kepada DAP untuk memenangi kerusi pilihan raya yang mereka tandingi.
Oleh kerana itu, tidak dapat dielak, memutuskan hubungan dengan DAP bermakna memutuskan hubungan juga dengan PH,” tambah beliau.
“Menyedari situasi tersebut, bagi sebahagian pemimpin dan akar umbi Umno, memutuskan hubungan dengan DAP bukalah lagi satu pilihan. Ia adalah satu kemestian jika Umno mahu kembali mendapat sokongan pengundi tradisi mereka.
“Persoalan yang mungkin bakal diperbahaskan dalam PAU nanti, bila mahu diputuskan? Putus sekarang atau selepas dibubarkan Parlimen untuk PRU-16?
“Sekiranya putus sekarang, Umno akan kehilangan kuasa.
“Sekiranya putus kemudian nanti, DAP akan terus menjadi duri dalam daging yang merugikan Umno dan juga kepentingan orang Melayu.
“Maka, PRK Nenggiri bukan pengiktirafan hubungan BN-PH,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/8/2024




















