Kayuhan jadi acara sulung Karnival Muo Merdeka

- Advertisement -

MUAR: Aktiviti berbasikal  program Kayuhan Merdeka menjadi aktiviti sulung bagi program induk Karnival Muo (Muar) Merdeka untuk meraikan Hari Kebangsaan Malaysia tahun ini.

- Advertisement -

Program tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama Alternative Cycling Club (ACC) telah mendapat penyertaan seramai 60 penunggang basikal dari dalam dan luar Muar.

Pelepasan para peserta melibatkan kayuhan basikal dengan jarak sejauh 27 kilometer telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Abdul Aziz Talib di Parit Tarom, di sini kelmarin

Selain Kayuhan Merdeka, program induk Karnival Muo Merdeka anjuran Pusat Khidmat ADUN Maharani yang berlangsung selama sehari itu turut melibatkan pelbagai acara merangkumi pelbagai peringkat umur dan jantina.

Aktiviti melibatkan sukan dan rekreasi lain antaranya ialah sukan rakyat seperti batu seremban, congkak, konda-kondi dan cabaran sepakan penalti, selain Konvoi Ambang Merdeka dan tukar minyak hitam percuma.

Dalam program itu juga turut berlangsung Sambutan 38 Tahun PASTI Muar meliputi aktiviti sukaneka, pertandingan mewarna, pakaian beragam yang berlangsung pada sebelah pagi.

Terdapat juga pengisian berbentuk keagamaan seperti Klinik Al Fatihah, Pasangan Bahagia, Rawatan Darus Syifa dan Kuliah Maghrib yang menyentuh perkembangan isu Palestin.

Manakala aktiviti untuk Muslimat pula antaranya ialah musang berjanggut, masukan jarum dalam benang dan pertandingan masak asam pedas.

Acara kemuncak pula berlangsung pada sebelah malam dengan ceramah politik semasa yang menampilkan Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani  Khamis

Juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Roslan Nikmat dan Abdul Aziz sendiri selaku juga Yang Dipertua PAS Kawasan Muar. – HARAKAHDAILY 19/8/2024

- Advertisement -