
YEKATERINBURG: Seorang wanita dwi warganegara Amerika Syarikat-Rusia telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun di penjara Rusia kerana khianat selepas pihak berkuasa mendapati wanita itu menderma sebanyak AS$51.80 (RM230) kepada badan amal yang menyokong Ukraine.
Ksenia Khavana, 33, kadangkala dikenali dengan nama Ksenia Karelina, telah ditangkap pada Februari selepas pergi ke Rusia untuk melawat keluarganya. Khavana, bekas penari balet, tinggal di Los Angeles dan merupakan pekerja spa di Beverly Hills, lapor Global News.
Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) berkata, wang yang didermakan Khavana itu digunakan untuk membeli senjata yang digunakan bagi menentang Rusia dalam perang negara itu dengan Ukraine.
“Dia secara proaktif mengumpul wang demi kepentingan salah satu organisasi Ukraine, yang kemudiannya digunakan untuk membeli bekalan perubatan taktikal, peralatan, senjata, dan peluru untuk angkatan bersenjata Ukraine,” kata FSB.
Pihak berkuasa Rusia telah mengetahui tentang sumbangan itu selepas mereka bertindak merampas telefonnya dan mencari sumbangan itu telefon bimbitnya.
Semasa perbicaraan, Khavana mengaku sebahagian tindakannya bersalah, kata peguamnya, Mikhail Mushailov, di mana dia mengaku menderma wang itu tetapi menegaskan bahawa bukan niatnya untuk memindahkan dana itu bagi digunakan untuk tindakan ‘anti-Rusia’.
Sejak operasi tenteranya di Ukraine pada Februari 2022, Rusia telah bertindak tegas terhadap perbezaan pendapat dan telah meluluskan undang-undang yang menjenayahkan kritikan terhadap operasi di Ukraine, serta kenyataan yang dianggap memburukkan tentera Rusia.
Kebimbangan telah meningkat sejak itu bahawa Rusia menyasarkan warga Amerika Syarikat (AS) untuk ditangkap.
Pada 1 Ogos, Rusia dan Barat mengadakan pertukaran tahanan terbesar sejak berakhirnya Perang Dingin, termasuk pertukaran Eksekutif Keselamatan Korporat AS, Paul Whelan yang disabitkan dengan tuduhan pengintipan.
Rusia dalam pada itu turut membebaskan beberapa pemimpin pembangkang terkenal yang dipenjarakan kerana mengkritik operasi ketenteraan di Ukraine. -Agensi/– HARAKAHDAILY 16/8/2024




















