
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim menghargai peniaga tempatan berniaga di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.
Katanya, sewaktu perlawanan Terengganu FC menentang Negeri Sembilan FC tempoh hari, saya dan pihak Kompleks Sukan Negeri meninjau beberapa gerai jualan di sekitar stadium untuk melihat sendiri kualiti dan harga jualan.
Menurutnya, makanan dan burger-burger yang dijual juga sempat diteliti harga dan kualiti jualan.
Katanya, ada peniaga yang menjual dengan harga RM4 dan RM5.
Bagi beliau, semuanya mempersembahkan kualiti yang baik dan bersih.
“Penentuan harga dan kualiti makanan bukan bidang tugas dan kuasa pihak kami. Walaupun begitu, sesekali kami cuba memantau di samping menyantuni peniaga di sini.
“Terima kasih buat semua peniaga tempatan yang mencari rezeki di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin,” ujarnya menerusi catatan di laman Facebook beliau, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta agar semua peniaga menjaga kebersihan dan tidak membuang sisa lebihan di dalam longkang stadium untuk mengelakkan berbau busuk.
Beliau juga mengucapkan terima kasih juga kepada semua pengunjung atas sokongan membeli dengan peniaga-peniaga tempatan di pekarangan dan di dalam stadium yang mendapat hak berniaga sebagai penaja Terengganu FC.
“Sama-sama kita menyokong peniaga tempatan agar suatu hari nanti semuanya menjadi penyumbang pembayar zakat utama dalam negeri ini.

“Jangan lupa, malam ini sekali lagi perlawanan di SSMZA,” ujarnya yang juga ADUN Tepuh.
Beliau berharap semoga Terengganu FC berjaya mengutip mata penuh menentang Sri Pahang FC pada malam ini. – HARAKAHDAILY 16/8/2024











