
17 Ogos 2024 adalah tarikh keramat dan penting buat 20,219 pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan.
Pada hari itu, mereka akan keluar sekali lagi untuk mengundi bagi memilih wakil DUN yang mewakili suara mereka setelah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lampau bertindak sehingga berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN ini. Jika mahu disenaraikan memang banyak dalil mengapa pengundi di sini perlu pangkah `Bulan’. Berikut ialah lima dalil utama yang perlu diambil kira:
- Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos 2023 lalu, pengundi Nenggiri telah menolak Umno-BN buat kali pertama dalam sejarah setelah berbuat perkara yang sama untuk Parlimen Gua Musang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) November 2022.
Umno telah ditolak rakyat di sini setelah lebih 60 tahun diberi kepercayaan, iaitu sejak 1959. Rakyat telah bosan dan kecewa dengan Umno, dan mereka mahu bergerak ke hadapan, meninggalkan segala kegagalan yang lampau.
- Dalam pilihan raya lalu, rakyat Nenggiri beri peluang pada Perikatan Nasional (PN) setelah tolak Umno. PN baru sahaja diberi peluang belum pun setahun, tetapi malangnya ADUN yang diberi mandat telah khianat apabila bertindak menyokong Kerajaan PH-BN yang ditolak rakyat.
PN dan PAS tidak khianat, yang khianat adalah ADUN yang terpaksa diisytiharkan kosong kerusinya. Lalu PN perlu diberi peluang lagi untuk menyambung tugas dan membuktikan kemampuan mereka setelah Umno menguasai kawasan ini lebih 60 tahun.
- Calon PN-PAS, Rizwadi Ismail adalah “calon rakyat”. Selama 11 tahun berkhidmat mempertahankan negara dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan lima tahun pula sebagai Pegawai Dakwah di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).
Ternyata beliau dibentuk untuk berkhidmat dan menabur jasa pada rakyat, bukan jenis yang bermain projek atau yang mahu mengambil kesempatan mencari kepentingan peribadi. Nenggiri perlukan wakil rakyat berkemampuan dan berwibawa, bertakwa serta bersih seperti Rizwadi.
- PN-PAS berjuang untuk mendaulatkan politik penyatuan ummah. Segala kekuatan politik umat Melayu perlu disatukan demi mengembalikan maruah dan harga diri agama dan bangsa.
Politik permuafakatan ummah disokong seluruh umat Melayu dalam negara sehingga mengakibatkan Umno, yang satu ketika dahulu merupakan parti Melayu dominan dalam negara, hari ini kecundang.
Parti dominan dan jurucakap Melayu Islam hari ini adalah PN-PAS. Nenggiri perlu pangkah `Bulan’ bagi memberi isyarat kita mendukung politik penyatuan ummah.
- Kerajaan Negeri Kelantan PAS walaupun menghadapi pelbagai tekanan kerana berbeza politik dengan Kerajaan Persekutuan sejak 1990, hari ini berjaya terbit sebagai sebuah kerajaan yang diurus bersih dan berintegriti.
Rasuah dan penyalahgunaan kuasa terlalu asing buat Kelantan berbanding negeri lain yang tidak di bawah PAS atau PN. Jika Nenggiri kekal mengangkat PAS, tradisi membela nasib dan kepentingan rakyat ini akan dapat dikekalkan.
Jadilah pengundi yang bertanggungjawab, keluarlah mengundi beramai-ramai, kerana nasib dan masa depan kita bergantung kepada pilihan yang tepat dan bijak. Tolak politik gagal, pincang dan tempang. Pertahankan Nenggiri, pangkah `Bulan’. – HARAKAHDAILY 15/8/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















