
BAITULMAQDIS: Jerman pada hari Rabu (14 Ogos) mengutuk pencerobohan dua menteri Israel ke pekarangan masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, yang dikenali oleh orang Yahudi sebagai Temple Mount, dan berkata ia menjangkakan kerajaan Israel menghentikan provokasi yang disengajakan.
“Kami menolak langkah unilateral yang membahayakan status quo sejarah tapak suci di Baitulmaqdis,” tegas Kementerian Luar Jerman di Berlin dalam platform media sosial X, lapor The New Arab.
Terdahulu Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU), dan beberapa negara serantau terutama Arab mengutuk sekeras-kerasnya lawatan ke atas pekarangan Masjid Al-Aqsa oleh Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben-Gvir pada Selasa (13 Ogos) yang disertai 2,000 warga negara haram Israel; dengan mengatakan tindakan itu adalah ‘pencerobohan terang-terangan’ terhadap tapak suci itu.
Al-Aqsa merupakan masjid ketiga paling suci buat umat Islam; namun kawasan tersebut juga dianggap adalah tempat paling suci bagi penganut Yahudi.
Terletak di di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, kawasan berkenaan ditawan oleh Israel daripada Jordan dalam perang Timur Tengah pada tahun 1967.
Berdasarkan status quo, Jordan dibenarkan meneruskan peranan sejarahnya sebagai penjaga kawasan tersebut, manakala Israel mengambil alih kawalan keselamatan dan akses.
Walau bagaimanapun penduduk Palestin menuduh Israel mengambil langkah-langkah untuk melemahkan pengaturan ini dan mengadu bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pengunjung Yahudi sering dilihat bersembahyang tanpa dihentikan oleh polis Israel. –Agensi/– HARAKAHDAILY 14/8/2024




















