
SHAH ALAM: Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat seorang lelaki yang ditemui di sekitar jambatan Sungai Klang adalah Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23.
Mayat tersebut dijumpai sekitar 7 malam berhampiran Jalan Tepi Sungai, Sungai Kolok berdekatan Sungai Klang, kira-kira 1 kilometer dari lokasi Nidza dilaporkan hilang.
Sehubungan itu, beberapa individu terdiri daripada ahli keluarga Allahyarham dilaporkan tiba di pekarangan Unit Forensik Hospital Shah Alam, di sini, pada malam Rabu.
Difaham kehadiran mereka kira-kira jam 10.20 malam itu bagi urusan bedah siasat.
Sebelum ini, dilaporkan kehilangan Nidza Afham didakwa berkaitan dengan kes samun.
Adiknya, Afrina Hanie Mokhtar berkata, polis mempercayai kehilangan Nidza Afham berkaitan dengan kes samun susulan kehilangan kad debit dan wang tunai manakala, kad pengenalan, kad pelajar dan gambar disimpan dalam dompet milik bekas peserta program realiti TV nyanyian, Can See Your Voice Malaysia musim ketiga itu tidak berusik.
Sementara itu, kakak Afham turut berkongsi maklumat terperinci mengenai kronologi kehilangan adiknya itu menerusi ciapan di laman X dan mendapati semakan di telefon bimbitnya tiada unsur pergaduhan atau pinjaman kepada Ahlong.
Terdahulu, tular di media sosial mangsa dilaporkan hilang selepas keluar rumahnya pada kira-kira jam 7.58 malam Selasa (13 Ogos) dengan menaiki e-hailing untuk berjoging di Stadium Sultan Sulaiman, Klang. – HARAKAHDAILY 15/8/2024











