‘Saya tidak boleh dijatuhkan Zahid’ – Mahathir

Mahathir Mohamad dan Zahid Hamidi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Zahid tidak perlu mendabik dada sebagai hero yang menjatuhkan saya dan menyelamat Umno.”

Itu respons Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Sabtu lalu bahawa beliau adalah dalang utama yang terbabit menggulingkan mantan Perdana Menteri itu dalam usaha menyelamatkan Umno daripada diharamkan.

- Advertisement -

“Zahid Hamidi berkata dialah orangnya yang menjatuhkan saya demi menyelamatkan Umno.

“Zahid bukan hero. 

“Dia hanya seorang yang menghadapi tuduhan dalam mahkamah dan sanggup bekerjasama dengan musuh ketat Umno, iaitu DAP, supaya jadi Timbalan Perdana Menteri demi menyelamatkan dirinya daripada dibicarakan berkenaan kesalahannya,” tegas Mahathir dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Mahathir dalam kenyataan itu juga mendakwa, ketika itu beliau melihat bahawa Umno sudah tidak lagi berpegang kepada dasar penubuhan parti itu iaitu berjuang untuk bangsa, negara dan agama. 

“Parti yang menggunakan nama Umno (ketika itu) berjuang untuk wang (Cash is King),” dakwanya lagi.

Menurut Mahathir, sebenarnya Umno kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), tetapi bagi beliau, kalah tidak bermakna hapus; dan kalah bermakna tidak dapat jadi kerajaan.

“Ketika Zahid datang jumpa saya, dia baru jadi Presiden Umno. Dia ingin tahu apa akan jadi kepada Umno setelah kalah (dalam PRU14).

“Oleh kerana perjuangan tidak sama dengan perjuangan asal Umno, (bagi saya) hak untuk dikenali sebagai parti Umno sudah hilang. 

“Oleh itu, bagi saya, adalah lebih baik nama Umno tidak lagi digunakan dengan cara membubarkan parti yang menggunakan nama Umno,” jelas Mahathir.

Namun tambah Mahathir, Zahid tidak bersetuju dengan pandangan beliau dan tidak membubarkan partinya yang menggunakan nama Umno.

“(Justeru), saya tidak boleh dijatuhkan oleh Zahid atau Umnonya. Parti yang kalah tidak berhak jatuhkan parti yang menang,” ujarnya.

Beliau menyatakan lagi, selepas berjumpa Zahid kali kedua, Zahid cuba menjelaskan bahawa dirinya tidak bersalah dalam tuduhan rasuah yang telah disebarkan kepada umum itu.

“(Namun) Saya jelaskan saya tidak berkuasa membebaskan beliau. Bukti yang cuba ditunjuk kepada saya sepatutnya ditunjukkan kepada hakim mahkamah,” dedah Mahathir.

Mahathir juga mendedahkan bahawa beliau sendiri secara sukarela telah meletakkan jawatan.

“Sebab saya letak jawatan ialah apabila kemudian parti saya, Bersatu, menolak nasihat saya.

“Pada kebiasaannya apabila seorang pemimpin tidak lagi diberi kepercayaan oleh pengikutnya, (jadi) dia, secara terhormat sepatutnya letak jawatan. 

“Dan itulah yang saya lakukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2024

- Advertisement -