
GUA MUSANG: Pihak berwajib wajar membuat siasatan tular isu calon BN, Mohd Azmawi Fitri Abdul Ghani menaiki helikopter ketika jelajah kempen di DUN Nenggiri.
Pengarah Operasi PN PRK DUN Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau yakin calon BN ditaja pihak tertentu sehingga berkempen menggunakan helikopter.
“Sponsor pihak tertentu kalau mereka ada kepentingan projek kerajaan itu sudah dianggap sebagai rasuah.
“Kalau sponsor guna helikopter ada kepentingan tertentu ia melibatkan unsur rasuah. Bagaimanapun kita tidak mahu ulas urusan mereka hendak guna kereta api atau apa sahaja,” katanya pada sidang media di Pejabat Gua Musang di sini, hari ini.
Baru-baru ini, tular di media sosial calon BN turun daripada helikopter ketika datang berkempen di sebuah kampung dengan disambut petugas Umno.
Annuar berkata, penggunaan helikopter paling tidak memerlukan kos sehingga RM350,000 atau lebih.
Sedangkan, katanya dalam undang-undang pilihan raya ada jumlah tertentu yang dibenarkan dibelanja setiap parti politik ketika berkempen.
“Dalam PRK ada undang-undang jumlah wang yang boleh dibelanjakan, jadi kalau calon guna helikopter kos lebih daripada peruntukan yang dibenarkan dalam peraturan pilihan raya.
“Kalau Timbaan Perdana Menteri datang beliau boleh guna helikopter milik kerajaan. Saya difahamkan helikopter tersebut membawa pemimpin Umno dari Kuala Lumpur.
“Belanjanya ratusan ribu. Biar rakyat buat penilaian sendiri,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 12/8/2024











