Setahun yang lalu pada 12 Ogos 2023

- Advertisement -

JALAN yang kami lalui tak mudah. Jabi disasarkan menjadi salah satu target utama lawan. Mungkin kerana majoriti PRU14 hanya 55 undi. Ambe (saya) juga disasarkan untuk menjadi punching beg bagi maksud pembunuhan karakter.

- Advertisement -

Kami ajak lawan untuk bertarung atas padang yang sama rata secara fair play tapi lawan memilih untuk bertarung secara tradisi lama. Taktik fitnah dan serangan peribadi, ugutan kepada pengundi, isu-isu lapuk yang dikitar semula dan taburan pitih.

Alhamdulillah, semua ini ditangani secara bijak dan teratur oleh jentera perang kami. Taktik bertahan sambil serang balik kerana menyerang ialah pertahanan terbaik.

Tiba hampir 12 Ogos, perkembangan kepulangan pengundi luar agak kurang memberangsangkan. Ia suatu kebimbangan kerana pengundi luar adalah antara kekuatan kita. Taburan duit kepada pengundi kita yakin tak akan mampu memberikan suatu impak sehingga boleh menjadi bom jangka yang bakal meletup.

Rakyat sudah bijak menilai antara kaca dan permata, antara orang yang sentiasa bersama susah senang rakyat sejak 5 tahun lalu berbanding dengan watak yang muncul ketika PRU. Ternyata hipotesis ini tak lari jauh, duit habis tapi BN tak dapat undi.

Dari pagi ambe pantau perkembangan pola keluar mengundi di semua pusat mengundi. Nampak pengundi keluar secara konsisten walau tak berlaku kesesakan sepertimana PRU15 Parlimen yang lepas. Sampai jam 4 petang jumlah yang keluar belum mencecah 70 peratus. Dikira peratusan yang agak rendah. Cuma agak lega bila dibuat analisa, ramai yang tak keluar ialah pengundi cula BN di samping pengundi luar yang memang tak pulang.

PRU negeri kali ini sampai dua kali ambe pusing semua sembilan pusat mengundi. Yang lepas-lepas hanya sekali sahaja.

Bila undi pos dikira pada jam 5 petang dengan keputusan PAS menang majoriti 5 undi, ambe dah nampak sinar cahaya bulan. Undi Pos dalam konteks Jabi ialah kakitangan kerajaan yang bertugas dengan SPR. Tahun 2018, PAS hanya dapat 9 undi sahaja dari jumlah keseluruhan 221 undi.

Kali ini kita menang walau dengan majoriti kecil.

Jam 6.15 petang, proses pengiraan undi mula berjalan. Sekitar jam 7 petang, keputusan mula diterima satu persatu dari saluran-saluran mengundi.

Di Bilik Gerakan kami catatkan satu persatu keputusan yang diterima sama ada PAS menang atau BN kalah. Setelah keputusan dari 5 saluran mengundi diterima, PAS menang di semua saluran, di Bilik Gerakan DUN Jabi mula terdengar laungan takbir walaupun keputusan daripada baki 40 saluran lagi belum diterima. Sampai sekitar jam 8.15 malam selesai sudah penerimaan semua keputusan.

BN kalah dengan majoriti 4,676.

Menerima kemenangan ini dengan insaf, syukur dan istighfar. Ia bukan tasyrif tapi taklif. Tanggungjawab dihari depan tentu lebih berat. Mari kita kembali satukan semula masyarakat Jabi. Mungkin ada yang terluka dan tercedera. Itu biasa kerana kita berhadapan dengan perlawanan. PAS menang dengan majoriti besar, tapi dalam masa yang sama jumlah undi BN juga agak besar. Semua yang mengundi BN juga rakyat kita.

Jabi Kito Pakat Jago – HARAKAHDAILY 12/8/2024

Penulis ialah ADUN Jabi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu.

- Advertisement -