
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berharap dengan bantuan yang diterima mampu menaikkan semangat Nurulnadiah Abdullah menjalankan perniagaan.
Beliau menyatakan demikian menerusi catatan di laman sosialnya susulan merasmikan Majlis Perasmian Sugar Pastel Legacy milik Nurulnadiah di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Pengarah SME Corp. Malaysia Terengganu, Mohamad Firdhouse Mohamad Tajuddin dan Pengurus Kanan Korporat Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Ahmad Shabirin Awalludin.
Menurutnya, kiosk milik Nurulnadiah yang beroperasi di Tapak Pasar Malam Teluk Ketapang itu adalah hasil daripada kerjasama banyak pihak termasuk SME Corp. yang telah menyediakan geran, tapak daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus serta YPU Terengganu sebagai pemudah cara.
Sebelum ini, katanya usahawan bakeri itu yang juga merupakan salah seorang usahawan YPU Terengganu telah menjalankan perniagaan hanya dari rumah.
Namun, ujarnya dengan cita-cita dan semangat dalam pembuatan kek, Nurulnadiah akhirnya mampu membuka sebuah kiosk di situ.
“Semoga dengan bantuan-bantuan ini mampu menaikkan lagi semangat puan dalam menjalankan perniagaan di samping membantu usahawan-usahawan lain yang ingin mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi keusahawanan yang lain,” katanya yang juga ADUN Alur Limbat.
Sementara itu, Nurulnadiah memberitahu kejayaan itu tidak hanya memperluas jangkauan perniagaannya tetapi juga memberikan peluang kepada pelanggan untuk menikmati hasil karyanya dalam suasana yang lebih profesional.
Katanya, dengan bantuan yang diterima, beliau berharap dapat mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran dan terus memotivasi usahawan lain untuk mengejar cita-cita dalam perniagaan. – HARAKAHDAILY 12/8/2024











