
MASJID TANAH: Selepas dihalang polis daripada memasuki kawasan perniagaan kerana air sudah mula naik, beliau sempat menelefon anaknya untuk menutup kedai dan menyelamatkan diri.
Md Yazed Yatim, 58, seorang pengusaha sebuah kedai pakaian Muslim yang terlibat dengan banjir semalam berkata, ketika itu air sudah setinggi satu kaki dari paras jalan raya.
“Saya di majlis perkahwinan. Anak saya jaga kedai waktu tu. Bila dapat tahu air naik, saya terus bergegas balik kedai. Tapi kereta saya tersekat. Polis tak bagi masuk sebab air dah naik. Masa tu dalam pukul 1 tengah hari.
“Saya telefon anak saya suruh tutup kedai. Tak payah nak alih barang naik atas. Selamatkan nyawa dulu. Itu yang penting. Alhamdulillah anak saya tutup cepat-cepat,” katanya.
Beliau yang telah lima tahun mengusahakan kedai tersebut berkata, pada waktu itu air belum lagi masuk ke dalam kedai dan anaknya sempat mengeluarkan kereta dari kawasan parkir di hadapan kedai sebelum air naik semakin tinggi.
Tambahnya, beliau cuba datang semula selepas waktu Asar dengan harapan air telah surut, namun setelah meninjau dari pekarangan Masjid Sultan Abdullah, mendapati air naik lebih tinggi pada anggaran ketinggian 3 kaki.
Beliau kemudian datang semula sekitar jam 8 malam dan mendapati air telah surut pada waktu itu dan membolehkan beliau masuk ke kedai untuk melihat kerosakan yang berlaku.
“Sepanjang lima tahun saya berniaga tak pernah lagi berlaku banjir. Sebelum ni kedai ni saya sewakan. Pernah berlaku banjir masa tu. Tapi kejadian tu lama dulu, dalam tahun 2008 tak silap saya. Tapi semenjak itu memang tak ada banjir macam ni berlaku,” ujarnya.
Sementara itu, Rabiatul Shahidi, 30, seorang pendandan rambut yang bekerja di Butik Aliya berkata, air mula naik hampir jam 2 petang.
“Bila tengok air di jalan raya dah mula naik, kawan saya sempat alihkan kereta dulu. Lepas tu saya bagitahu bos yang air dah naik di jalan raya.
“Bos terus suruh tutup kedai. Saya pun tutup kedai dan terus balik lebih kurang dalam pukul 3 petang. Polis bantu kami keluar redah air banjir,” katanya.
Tambah Rabiatul, sepanjang tujuh tahun beroperasi, beliau tidak pernah melalui kejadian banjir seperti itu yang beliau sifatkan banjir kilat besar.
“Setakat ini dari segi kerosakan kita boleh katakan 60 peratus barangan dan peralatan kami rosak. ‘Tile’ pun rosak. Termasuk satu mesin basuh.
“Mujur peralatan-peralatan ringan seperti ‘hair dryer’ kami sempat letak di tempat lebih tinggi, alhamdulillah tak kena air,” katanya.
Kejadian banjir yang berlaku petang semalam itu turut melibatkan beberapa kawasan kampung sekitar Parlimen Masjid Tanah.
Juga Parlimen Alor Gajah dengan kejadian yang berlaku di Bandar Masjid Tanah sebagai terburuk. – HARAKAHDAILY 12/8/2024











