PRK Nenggiri: Tiada manifesto bukti BN tak relevan

Ahmad Azlan Abu Bakar
- Advertisement -

KUANTAN: “Ketiadaan manifesto daripada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bukti jelas bahawa parti itu sudah tidak relevan dalam arena politik semasa.”

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata demikian sambil menegaskan, tindakan itu seolah-olah memperlihatkan BN hanya mahukan kuasa tanpa menawarkan sebarang janji konkrit kepada pengundi.

- Advertisement -

“Ironinya pada PRK kali ini tiada manifesto yang ditonjolkan oleh BN-PH kepada pengundi Nenggiri. 

“Persoalannya adakah BN-PH masuk PRK Nenggiri ini hanya mahukan kuasa? Sedangkan manifesto ini merupakan tekad dan juga tawaran yang akan diusahakan dan dilaksanakan jika pengundi memberi mandat.

“Saya melihat senario di PRK Nenggiri ini seolah-olah BN ini sudah tidak relevan dalam kancah politik hari ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, BN semalam, mengisytiharkan bahawa partinya tidak akan melancarkan manifesto bagi PRK DUN Nenggiri, sebaliknya hanya akan memberikan satu tawaran iaitu komitmen wakil rakyat bagi mendengar dan menyelesaikan masalah penduduk.

Kata Azlan, sebagai parti yang berada dalam Kerajaan Persekutuan dan yang telah lama menjadi wakil rakyat di DUN Nenggiri, BN sepatutnya mampu menawarkan sesuatu kepada pengundi kawasan tersebut.

Pada 17 Ogos nanti akan berlangsungnya hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri dengan pertandingan satu lawan satu antara PAS-PN dan BN-PH. 

Sehubungan itu, Azlan menggesa pengundi Nenggiri untuk menggunakan kesempatan itu sebagai satu referendum bagi menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan campuran BN-PH dan mengundi calon daripada PAS.

“Pastikan anda semua melaksanakan tanggungjawab pada 17 Ogos ini dengan bijak dengan mengundi Calon No. 1 daripada PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2024

- Advertisement -