Warga DUN Guar Sanji kobar jiwa patriotisme

- Advertisement -

ARAU: Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 pada 31 Ogos ini, penduduk di DUN Guar Sanji mengambil inisiatif dengan memasang bendera Malaysia secara bergotong-royong di Kampung Semut Gatal, di sini.

- Advertisement -

Aktiviti itu diadakan untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk setempat.

ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim berkata, program gotong-royong tersebut bukan sahaja menceriakan suasana kampung, tetapi juga memperkuatkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk.

“Sehingga kini, setiap laluan di DUN ini dihiasi dengan bendera Malaysia, menjadikan suasana kemerdekaan lebih terasa,” katanya.

Sempena sambutan Hari Malaysia pula maklumnya, satu acara larian yang dikenali sebagai Pida Run Guar Sanji 2024 akan diadakan pada 21 September depan bertempat di Kampung Semut Gatal.

“Acara ini akan menjadi yang pertama kali diadakan di Guar Sanji. Sarapan pagi dan air kelapa percuma akan disediakan untuk semua peserta,” tambah Mohd Ridzuan.

Hadiah wang tunai akan diberikan kepada pemenang dalam kategori lelaki dan perempuan, dengan johan membawa pulang RM250, naib johan RM150, dan tempat ketiga RM100.

Selain itu, peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang menarik.

Penyertaan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://forms.gle/cEA5dhqhYTPxaURQ7 atau secara terus di Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Guar Sanji.

“Program gotong-royong dan acara larian Pida Run ini diharap dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan penduduk Guar Sanji.

“Juga diharap sebagai mempromosikan gaya hidup sihat dan perpaduan masyarakat,” katanya lagi – HARAKAHDAILY 13/8/2024

- Advertisement -