
ARLINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin mengarahkan penempatan kapal selam peluru berpandu ke Timur Tengah, ketika rantau itu bersiap sedia untuk kemungkinan serangan oleh Iran dan sekutunya selepas pembunuhan anggota kanan pasukan pejuang Hamas dan Hizbullah.
Menurut kenyataan tentera AS di media sosial, walaupun kapal selam berkuasa nuklear, USS Georgia sudah berada di Laut Mediterranean sejak Julai lalu, ia adalah satu langkah yang jarang dilakukan untuk mengumumkan penempatan kapal selam negara itu secara terbuka, lapor Al Arabiya.
Dalam satu kenyataan selepas Austin bercakap dengan rakan sejawatannya dari Israel, Pentagon berkata Austin telah mengarahkan kumpulan penyerang Abraham Lincoln untuk mempercepatkan penempatannya ke rantau itu.
“Austin mengulangi komitmen Amerika Syarikat untuk mengambil setiap langkah yang mungkin untuk mempertahankan Israel dan menyatakan pengukuhan postur dan keupayaan pasukan tentera AS di seluruh Timur Tengah berikutan ketegangan serantau yang semakin meningkat,” tambah kenyataan itu.
Tentera AS sebelum ini berkata pihaknya akan mengerahkan jet pejuang tambahan dan kapal perang Tentera Laut ke Timur Tengah ketika negara itu berusaha untuk meningkatkan pertahanan Zionis Israel.
Terdahulu, Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang disokong Iran telah dibunuh di Tehran pada 31 Julai lalu, serangan yang menimbulkan ancaman balas dendam oleh Iran terhadap Israel yang memerangi kumpulan pejuang Palestin di Gaza.
Iran menyalahkan Israel atas pembunuhan itu Iran dan berkata AS bertanggungjawab dalam pembunuhan Haniyeh kerana sokongannya kepada Israel., namun Israel tidak mengaku bertanggungjawab.
Selain itu, pembunuhan komander kanan kumpulan pejuang Hizbullah yang disokong Iran, Fuad Shukr oleh Israel dalam serangan di Beirut turut mencetuskan kebimbangan konflik di Gaza bertukar menjadi perang Timur Tengah yang lebih meluas. -Agensi/– HARAKAHDAILY 12/8/2024




















