Umno tiada lagi kuasa mutlak dalam kabinet

Tan Sri Annuar Musa
- Advertisement -

GUA MUSANG: Pada beberapa siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pemimpin Umno menabur janji termasuk mahu menyelesaikan isu pemilikan tanah peneroka Kesedar.

- Advertisement -

Pengarah Operasi Perikatan Nasional Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa berkata, kalau betul nak tolong Umno boleh bagi duit kepada Kesedar bagi menyelesaikan premium tanah di RKT Paloh Satu sebanyak RM7 juta.

Katanya tunggakan tersebut tidak dibayar kepada kerajaan negeri sejak berpuluh tahun.

“Di Rantau Manis ada RM600,000 lagi tunggakan, bukan banyak sangat pun, tak payah keluar sijil mengelirukan, bayar sahaja duit premium hak milik original dapat dikeluarkan,” katanya pada sidang media di Pejabat PAS Gua Musang, di sini hari ini.

Sebelum ini, tular video Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin ketika kempen PRK Nenggiri beliau memberitahu membawa masalah pemilikan tanah di Nenggiri kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Annuar berkata, gelaja tersebut menggambarkan Umno beranggapan parti itu masih mempunyai kuasa mutlak dalam kabinet kerajaan Madani.

“Tak mungkin masalah tanah boleh diselesaikan melalui MKT, mungkin kerana sahabat saya Bung dia terkenang-kenang masa dahulu, masa dahulu MKT dan kabinet sama.

“Jadi saya merayu pemimpin Umno jangan buat lagi cerita mengelirukan rakyat, habis PRK ini kita balik ke kawasan masing-masing dan rakyat Nenggiri tinggal dalam kekeliruan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2024

- Advertisement -